Potongan gaji bayar balik pinjaman PTPTN

Lebih setengah juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mampu mengelak membayar balik tunggakan pinjaman jika Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan skim pembayaran melalui potongan gaji, tidak lama lagi.

Kementerian berkenaan sedang mengkaji pelbagai aspek berhubung kaedah itu melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan majikan peminjam.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata hasil kajian itu akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi sebagai kaedah memastikan peminjam tidak mampu mengelak daripada membayar semula tunggakan pinjaman bernilai RM1.9 bilion dengan membabitkan 563,494 peminjam.

"Bagaimanapun, jumlah pinjaman tertunggak itu bukan harus dikutip sekali gus. Sebaliknya ia harus dikutip dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kementerian sedang mengkaji kaedah pembayaran balik pinjaman yang dipraktikkan di negara lain, termasuk potongan gaji," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pusat Maklumat PTPTN Sabah, di Hotel Le Meridien, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang mentadbir hal ehwal pendidikan negeri, Datuk Masidi Manjun; Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Mohd Shahrum Osman dan Ketua Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani.

Pusat berkenaan memudahkan pelajar dan ibu bapa mendapatkan maklumat berhubung PTPTN, pembayaran balik pinjaman dan hal berkaitan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Mengikut sistem pembayaran semula PTPTN sedia ada, peminjam perlu membayar ansuran bulanan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) yang mempunyai 372 cawangan di seluruh negara berikutan kerjasama antara bank berkenaan dengan kementerian itu.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled yang ditanya sama ada kementerian itu sudah berbincang dengan bank yang digunakan majikan untuk menyalurkan pembayaran gaji peminjam, enggan mengulas lanjut.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak akan mengurangkan RM2.6 bilion peruntukan PTPTN untuk kira-kira 200,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/S) tahun ini walaupun menjangka negara akan turut mengalami kesan krisis kewangan global.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url