Perkampungan Portugis jadi tarikan

Selain dikenali sebagai sebuah negeri pelancongan, Melaka juga terkenal dengan masyarakat pelbagai kaum yang tinggal serumpun tetapi mengamalkan budaya dan adat masing-masing dalam suasana harmoni.

Kewujudan bangsa Melayu yang menjadi teras kepada komuniti lain termasuk peranakan Cina atau lebih dikenali dengan panggilan 'Baba Nyonya, Ceti dan Portugis melihatkan perkongsian pelbagai pengaruh dan budaya masyarakat Portugis, Belanda dan Inggeris.

Kesemua budaya masyarakat ini berjaya 'diadun' sehingga mewarnakan catatan sejarah di samping memperagakan ragam budaya yang menarik di bumi Hang Tuah ini.

Bercakap mengenai masyarakat Portugis, satu-satunya tempat yang paling ramai bilangan masyarakat ini pastinya Perkampungan Portugis, Ujong Pasir di sini.

Perkampungan yang terletak di persisiran Selat Melaka ini dikatakan wujud sejak lebih 500 tahun lalu.

Sehingga kini, penduduknya dianggarkan seramai 1,200 orang termasuk sebahagian kecil yang tinggal di beberapa kawasan lain di Melaka.

Antara kawasan lain di Melaka yang menjadi penempatan kecil masyarakat yang terkenal dengan lagu Jingli Nona ini ialah di Tengkera, Kubu, Lorong Pantai dan Banda Hilir.

Namun, Perkampungan Portugis dikatakan merupakan satu-satunya penempatan masyarakat Serani terbesar di negara ini.

Justeru, tidak hairanlah, mengapa lokasi ini dipilih untuk menjadi tempat bagi sambutan Rumah Terbuka Krismas Peringkat Kebangsaan 2008 pada malam Sabtu lalu sehingga berjaya menarik lebih 30,000 kunjungan dari dalam dan luar negara.

Saban tahun juga, perkampungan ini sering menjadi tumpuan pelancong termasuk dari luar negara bagi melihat keunikan budaya hidup keturunan Eropah mengamalkan kehidupan tempatan ini.

Menyingkap sejarah Perkampungan Portugis atau Portugis Settlement ini, ia dikatakan bermula sebagai sebuah kampung nelayan yang kemudiannya berkembang menjadi penempatan penduduk yang besar sehingga ke hari ini.

Walaupun menjadi golongan minoriti di sini, mereka tidak pernah di pinggirkan kerajaan yang telah mewartakan kawasan seluas 11.2 hektar ini sebagai perkampungan warisan di bawah Enakmen Pemeliharaan dan Pemuliharaan Negeri Melaka pada 2002.

Dari segi budaya, cara hidup masyarakat Portugis tidak banyak bezanya dengan masyarakat lain di Malaysia kerana nenek moyang mereka juga berkahwin dengan orang tempatan.

Selain budayanya, masakan tradisional masyarakat ini juga menjadi satu daripada tarikan pelancong ke Melaka.

Ini kerana, di sinilah antara lokasi yang boleh didapati makanan Portugis asli seperti karidebel (kari pedas), ikan bakar Portugis, dan karisakut (kari kering).

Sehubugan itu, maka tidak hairanlah mengapa perkampungan yang kaya pelbagai tarikan semakin mendapat perhatian kerajaan negeri untuk terus dimajukan.

Malah sejak beberapa tahun lalu, kerajaan negeri telah mula melaksanakan pelbagai projek pembangunan bersesuaian di situ bagi menjadikan kawasan berkenaan lebih menarik melibatkan peruntukan sebanyak RM25 juta.

Antaranya ialah bagi pembinaan medan selera, restoran dan menaik taraf jalan sedia ada di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url