Pertarungan di Kuala Terengganu bakal menjelang (PRK Kuala Terengganu)

'Pertempuran' sengit antara Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang bermula pada 6 Januari lalu akan berakhir tepat pukul 12.00 tengah malam Sabtu, 17 Januari 2009.

Lapan jam selepas itu seramai 80,229 pengundi Kuala Terengganu akan keluar membuat keputusan untuk memilih antara tiga calon yang bertanding iaitu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat.

Wan Ahmad Farid yang melepaskan jawatan Senator dan Timbalan Menteri menawarkan diri mempertahankan kerusi BN di kawasan itu dengan janji memastikan suara rakyat diketengahkan dan kesejahteraan rakyat dilaksanakan.

Mohd. Abdul Wahid pula dipilih oleh kepimpinan Pas untuk merampas kerusi Parlimen berkenaan yang pernah berada dalam genggaman mereka pada tahun 1999. Beliau hadir dengan matlamat membawa suara rakyat Kuala Terengganu ke Parlimen.

Azharudin pula sekadar ingin membantu rakyat miskin.

Kehadiran calon-calon dengan matlamat tersendiri telah memungkinkan persaingan menjadi sengit dan sudah pasti ia lebih tertumpu kepada 'pertempuran' antara BN dan Pas.

Pada hari-hari terakhir kempen, pakatan pembangkang yang diketuai oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim 'menggempur' Kuala Terengganu habis-habisan.

Semalam, PKR menurunkan barisan pemimpin mudanya berceramah bersama Anwar dengan matlamat untuk menarik perhatian pengundi muda. Pas pula terus mempertaruhkan kehebatan berpidato Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden, Mohamad Sabu manakala DAP sebelum ini telah menghantar Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ini tidak termasuk langkah pembangkang menggunakan siapa sahaja untuk membantu kempen mereka, termasuklah bekas pemimpin-pemimpin UMNO dan bloggers. Ertinya, siapa sahaja yang dirasakan boleh meraih sokongan untuk Pas, mereka pasti 'dialu-alukan' tanpa mengira apa juga latar belakangnya.

Bagi BN pula, sejak dari awal kempen lagi, jentera parti itu diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak penat-penat menghadiri pelbagai program bertemu rakyat yang kadang kala sehingga larut malam.

Beliau dibantu oleh barisan kepimpinan BN termasuk pemimpin UMNO yang meredah setiap penjuru bandar raya tersebut bagi bertemu rakyat.

Ketika pembangkang dalam kempen mereka terus leka melemparkan pelbagai tuduhan kepada BN dan Wan Ahmad Farid, pemimpin BN pula termasuk Najib lebih cenderung menumpukan perhatian kepada apa yang boleh parti itu lakukan demi membangunkan dan mensejahterakan rakyat di Kuala Terengganu.

BN tidak mahu terperangkap dengan ceramah-ceramah pembangkang yang penuh dengan kecaman dan cacian kepada kerajaan, sebaliknya apa yang BN lakukan ialah menyelesaikan satu demi satu masalah yang dibangkitkan oleh penduduk ketika kempen berlangsung.

Bagi BN, pilihan raya kecil itu bukan sekadar mempertahankan sebuah kerusi tetapi lebih daripada itu untuk memastikan rakyat sekali lagi tidak terperangkap dengan dakyah-dakyah pembangkang yang kesudahannya tidak menguntungkan mereka.

Lebih daripada itu, BN mahu kemenangan parti tersebut di Kuala Terengganu akan meredakan seketika arena politik negara kerana tumpuan selepas ini ialah menangani kegawatan ekonomi yang berada di ambang pintu.

Tetapi bagi pembangkang, mereka tidak kisah itu semua. Mereka hanya hadir di Kuala Terengganu semata-mata untuk menambah suara di Parlimen, walaupun sekarang Malaysia dikatakan mempunyai barisan pembangkang yang paling kuat dalam sejarah politiknya.

Pembangkang sememangnya mahu kejayaan di Terengganu kerana dengan cara itu, mereka boleh terus menggugat arena politik negara dan sekali gus akan menganggu tumpuan kerajaan dalam menangani kegawatan ekonomi.

Apabila itu berlaku dan rakyat hidup susah maka mereka akan menuding jari kepada BN dan menganggap kerajaan tidak pandai menguruskan ekonomi.

Sebenarnya inilah matlamat pembangkang, mereka tidak ada tujuan lain apabila bertanding di Kuala Terengganu.

Bagi pembangkang, mereka ingin berpolitik 24 jam. Sebab itu apa juga yang dilakukan oleh BN akan dilihat dalam sudut politik. Di Parlimen, mereka menyokong usul mengutuk Israel tetapi apabila berceramah di Kuala Terengganu ada pemimpin mereka berkata Malaysia tidak ikhlas bantu Palestin apabila menahan 21 orang yang berdemonstrasi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Begitu juga apabila mereka menuduh BN memainkan isu perkauman ketika berkempen sedangkan awal-awal lagi mereka 'mengimport' pemimpin-pemimpin PKR masuk ke kawasan-kawasan pengundi Cina membangkitkan semula isu kenyataan bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera suatu ketika dulu.

Inilah sikap pembangkang, mereka tidak ikhlas bertanding dalam pilihan raya untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat. Apa yang mereka mahu sekadar menambah suara dalam Parlimen demi membolehkan mereka terus berpolitik sepanjang masa.

Kalau mendengar ceramah-ceramah pembangkang, mereka cuba memaparkan merekalah paling bersih dalam dunia ini dan tidak akan melakukan kesalahan jika menjadi kerajaan atau berkuasa tetapi hakikatnya ada sesetengah pemimpin itu ibarat sebaris lagu Ulik Mayang yang popular di Terengganu, "Ku tahu asal usulmu".

Oleh itu terserahlah kepada kematangan pengundi Kuala Terengganu untuk memilih siapakah sebenarnya yang betul-betul jujur hadir dalam hidup mereka untuk membawa kesejahteraan.

Pilihan di tangan mereka. Pengundi-pengundi boleh menentukan sama ada hendak terus mempercayai dakyah-dakyah pembangkang yang belum tentu kebenarannya atau terus bersama-sama BN yang ternyata sudah membuktikan ia adalah sebuah parti yang bukan dilahirkan kerana perasaan benci, dendam atau sekadar untuk berkuasa.

Walaupun Kuala Terengganu tidak akan mengubah landskap kedudukan dalam Parlimen tetapi pengundi harus melihat kepentingannya kepada kestabilan politik negara.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url