Sidang Parlimen untuk Gaza - Satu barisan, satu pakatan

Petang Isnin lalu, penulis berada di Dewan Rakyat untuk mengikuti Sidang Khas Parlimen mengutuk kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Walaupun sidang khas, ia menarik minat ramai pihak yang ingin mengikuti perbincangan Ahli Parlimen dari parti kerajaan dan pembangkang.

Ada juga yang datang memberi sokongan kepada wakil rakyat mereka yang ingin mengutuk kekejaman Zionis terhadap orang awam yang tidak berdosa. Yahudi bersikap angkuh membedil kediaman penduduk Palestin di Gaza. Pembedilan menggunakan senjata berbahaya meragut lebih 900 nyawa.

Menurut laporan, seramai 201 Ahli Parlimen menghadiri sesi khas itu dengan 129 mewakili Barisan Nasional (BN), 70 dari Pakatan Rakyat dan dua ahli Bebas. Turut memerhatikan sidang khas itu ialah 32 perwakilan asing, termasuk dari Amerika Syarikat dan Britain.

Sidang khas yang bermula jam 2.30 petang dan berakhir 9.50 malam itu, menyaksikan semua Ahli Parlimen senada mengutuk serangan ganas Israel di Gaza dan ramai turut mengecam Amerika Syarikat yang dianggap sengaja membiarkan rakyat Palestin disembelih.

Ada juga yang melabelkan Israel sebagai penjenayah perang dan pengganas bersiri serta menyifatkan serangan ganas rejim Zionis itu seperti tindakan kebinatangan. Penyampaian mereka serius dan ada dalam bentuk bersahaja.

Setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengemukakan sepuluh usul dan disokong timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, ahli Parlimen mula membincangkan usul didahului oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di akhir perbahasan itu, buat julung kalinya Dewan Rakyat mencapai konsensus secara tekad dan pendirian menzahirkan satu suara untuk keadilan kemanusiaan.

Dengan mengetepikan perbezaan politik, Dewan Rakyat bersatu menentang dan mengutuk kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Bagi memastikan tindakan setimpal boleh dikenakan terhadap Rejim Zionis, Kuala Lumpur akan berjuang menghadapkan Israel ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Geneva untuk memulakan siasatan.

Untuk menguatkuasakan gencatan senjata, Kuala Lumpur pula mendesak Majlis Keselamatan PBB mewujudkan pasukan pengaman di Gaza.

Salah guna kuasa veto Washington dalam Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut mendorong Kuala Lumpur berjuang agar keanggotaannya dirombak.

Kemuncak sidang khas Isnin lalu, semua ketetapan yang dilahirkan Dewan Rakyat akan disampaikan kepada Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Kesatuan Eropah dan House of Commons Britain menerusi Wisma Putra.

Terdahulu ketika membentangkan usul itu, DS Datuk Abdullah menggariskan komitmen Kuala lumpur meneruskan tekanan ke atas PBB untuk mengusir rejim Zionis, menguatkuasakan gencatan senjata sekali gus membebaskan Palestin.

Ketegasan DS Abdullah diterjemahkan dalam usul 10 perkara dan Israel pula tiada alasan kukuh guna kekerasan tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Palestin.

Di sebalik kelesuan PBB, Kuala Lumpur nekad teruskan tekanan ke atas badan dunia itu untuk mengusir rejim Zionis, menguatkuasakan gencatan senjata sekali gus membebaskan Palestin.

Sepuluh usul di bentang mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza yang sehingga sekarang telah mengorbankan ratusan nyawa rakyat Palestin.

Sepuluh ketetapan Malaysia ialah:

- Mengecam serangan Israel dan menggesa pengunduran menyeluruh mereka dari Gaza.

- Menggesa Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan agar Israel hentikan serta-merta serangan menerusi gencatan senjata dan menempatkan pasukan pengaman PBB untuk menguatkuasakan gencatan itu.

- Menggesa diadakan sesi tergempar khas PBB sekiranya Majlis Keselamatan gagal kuatkuasakan ketetapan yang diputuskan pada 8 Januari lalu.

- Malaysia juga menggesa pihak terlibat menyambung semula proses damai serta patuh pelbagai resolusi PBB.

- Bekerjasama dengan OIC, NAM, Liga Arab dan negara sependapat mendokong prinsip undang-undang antarabangsa dan piagam PBB dalam menangani konflik Asia Barat.

- Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin ke arah sebuah negara merdeka dan berdaulat.

- Menyeru rakyat Palestin bersatu padu mempertahankan hak mutlak mereka.

- Di samping merayu masyarakat antarabangsa hulur bantuan kemanusiaan.

- PBB juga digesa tubuh tribunal jenayah antarabangsa untuk siasat dan dakwa penjenayah perang Israel.

- Malaysia berikrar untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua dewan perundangan dan parlimen khususnya kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.

DS Abdullah berkata, Amerika Syarikat telah menggunakan kuasa vetonya sebanyak 28 kali dalam tempoh 36 tahun sejak 1973 iaitu menyekat majlis keselamatan supaya tidak bertindak.

Sejak dilancarkan 27 Disember lalu, hampir 900 nyawa tidak berdosa terkorban, lebih 3,000 cedera dan 15,000 lagi menjadi pelarian.

Lebih malang, resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk mengusir tentera Israel keluar dari Gaza sekali gus melaksanakan gencatan senjata, dicabuli rejim Zionis.

Usaha damai yang cuba dicapai dalam Perjanjian Annapolis, hujung 2007 turut menemui jalan buntu.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar meminta Perdana Menteri membawa Malaysia mengetuai misi menentang kezaliman rejim Zionis.

Katanya, adalah sukar menunggu tindakan negara liga Arab menangani konflik Israel-Palestin disebabkan perbezaan pandangan dan kepentingan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga wakil Marang, pula menyifatkan sidang khas itu sebagai pentas melupakan perbezaan politik.

Beliau menjelaskan, sokongan ini bukan bermaksud rakyat Malaysia fanatik kepada kaum tertentu dan Isnin lalu memaparkan rakyat negara ini berada dalam satu barisan dan satu pakatan.

Senada membantah tindakan ganas tidak berperikemanusiaan Israel ialah Parti MCA.

Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat, pula menganggap tindakan Tel Aviv itu sebagai memalukan tamadun kemanusiaan.

Beliau berharap rakyat negara ini terus mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Kesimpulannya, suara senada Ahli Parlimen ini jelas memperlihatkan keganasan dan kezaliman Israel amat dikutuk oleh setiap pihak tidak kira latar belakang mereka.

- sinarharian.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url