Projek Barisan Nasional di Kuala Terengganu diteruskan

Kerajaan negeri akan meneruskan semua projek yang telah dirancang untuk kesejahteraan hidup rakyat di Kuala Terengganu meskipun Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya kecil Parlimen berkenaan Sabtu lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, tidak ada sebab ia harus diberhentikan kerana semua projek yang dirancang sebelum ini sememangnya adalah untuk rakyat.

''Bagi saya cukup mudah, di bawah program Merakyatkan Pembangunan ini ada projek yang kita beri terus kepada rakyat dan jika ada rakyat yang tidak mahu bersyukur kepada kerajaan BN, itu adalah hak dia.

''Tetapi setiap perbuatan baik kita tentunya akan mendapat balasan daripada Allah SWT, jangan ragu keikhlasan kerajaan," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu ditanya mengenai kedudukan beberapa projek pembangunan yang dirancang oleh kerajaan berikutan kekalahan BN dalam pilihan raya kecil tersebut.

Antara projek yang dirancang dan dijanjikan termasuklah pembinaan rumah untuk nelayan di Chendering, projek perumahan untuk rakyat dan perparitan.

Selain itu sebanyak 1,000 keluarga berpendapatan rendah di Kuala Terengganu bakal mendiami rumah yang selesa apabila projek Perumahan Rakyat (PPR) bernilai RM100 juta di Padang Hiliran di sini dijangka siap tahun 2012.

Mengenai kedudukan projek pembinaan rumah untuk nelayan di Chendering, Ahmad berkata, projek itu akan diteruskan seperti yang dirancangkan kerana kerja-kerja pembinaan telah pun diserahkan kepada kontraktor.

Tegas beliau, kerajaan BN tidak pernah menipu rakyat meskipun ada rakyat yang menipu kerajaan.

''Projek itu kita akan teruskan, sudah serah kepada kontraktor dan yang penting kerajaan tidak akan tipu rakyat tetapi rakyat yang tipu kerajaan.

''Kerajaan juga tidak akan hukum rakyat, jika dihukum tentu kehidupan mereka akan susah. Tidak apalah, terpulang kepada rakyat dalam membuat sebarang keputusan," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url