Radio 24 kelolaan Bernama

Beroperasi sejak September 2007, radio berteraskan berita kendalian Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio 24, kini punyai misi baru dalam meletakkannya sebaris dengan radio popular lain.

Menggiatkan promosi serta mengukuhkan segmen-segmen sedia ada, pelbagai perubahan telah dirangka untuk dilaksanakan sepanjang 2009 ini.

Meski dikenali sebagai radio berita pertama tanah air, kehadiran 2009 membuatkan Radio 24 memikirkan betapa pentingnya elemen-elemen segar termasuk hiburan diselitkan dalam usaha menarik perhatian khususnya pendengar muda.

Segmen-segmen seperti Yo!, Popradio, Gaya, Sukan24 dan Irama24 merupakan antara segmen yang diwujudkan demi memastikan Radio 24 melekat di hati pendengar berkenaan.

Eksperimen

Ketua Pegawai Operasi Radio 24, Sheikh Raffie Abd. Rahman berkata, pihaknya mengakui sejak ke udara setahun lalu, Radio 24 kurang terlibat dalam aktiviti promosi sehingga ia tidak begitu dikenali ramai.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga, Radio 24 dilihat tidak berada di trek persaingan dengan radio-radio lain lantaran fokusnya yang lebih terarah kepada aspek berita.

"Malah, sewaktu mula-mula beroperasi dahulu, Radio 24 tidak mempunyai contoh atau rujukan sebagai ikutan kerana kita adalah radio pertama berteraskan berita di negara ini.

"Operasi Radio 24 hanya berdasarkan eksperimen dan kajian kita sendiri terhadap kehendak pendengar.

"Kalau sebut tentang rujukan pula, kami banyak mengambil contoh operasi radio-radio luar seperti Elshinta, 1010 Wins, 680 News dan BBC World Service,'' katanya ketika ditemui di ibu pejabat Radio 24 di Wisma Bernama, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Sheikh Raffie, melihatkan kelemahan-kelemahan di 2008, untuk 2009, segala perubahan yang dirangka bakal menyaksikan Radio 24 menjadi pilihan pendengar.

"Kita akan wujudkan kuiz, menguatkan laporan berita secara langsung dari lokasi, menyelitkan elemen-elemen lagu latar ketika laporan berita dan memperbanyakkan penyiaran dokumentari seperti yang diminta oleh kebanyakan pendengar.

"Program pembelajaran bahasa Inggeris melalui segmen BBC Learning English juga akan dilanjutkan masanya daripada enam minit kepada 14 minit.

"Kita juga akan mengukuhkan lagi laporan trafik, info cuaca dan membuat pelbagai perubahan yang relevan dengan pendengar di Lembah Kelang,'' katanya.

Sambutan

Sheikh Raffie berkata, dalam usahanya membawa perubahan kepada Radio 24, ia dilihat sebagai persediaan untuk membawa radio itu berada dalam kelompok persaingan merebut jumlah pendengar atau rating.

"Kita akan menyertai sistem rating pada tahun hadapan,'' ujarnya sambil menambah Radio 24 kini mempunyai tujuh penyampai radio.

Ditanya mengenai segmen yang paling mendapat sambutan pendengar di 2008, Sheikh Raffie berkata, segmen itu adalah Hello Bersama Kamal Affendi.

Jelasnya, melihatkan sambutan yang semakin meningkat, segmen berkenaan akan diberi nafas baru dan dinamakan Black Maria.

"Ia masih mengekalkan penganalisis jenayah tersohor, Kamal Affendi Hashim dengan memberikan panduan kepada pendengar dalam aspek pencegahan jenayah,'' katanya.

Kepada satu soalan tentang perancangan Radio 24 ke udara ke seluruh tanah air, Sheikh Raffie berkata : ''Radio 24 dalam proses ke arah itu. Cuma kita ada sedikit masalah tentang frekuensi.''

Radio 24 boleh didengar di frekuensi 93.9 MHz atau secara langsung melalui www.radio24.com.my.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url