RM1b projek air Terengganu

Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM206.3 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) untuk melaksanakan 10 projek bekalan air di Terengganu.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, selain itu, di bawah wang Dana Khas pula sebanyak RM813 juta telah diperuntukkan yang melibatkan pelaksanaan sebanyak 12 projek.

''Ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk melaksanakan projek-projek bekalan air di negeri Terengganu sebanyak RM1.012 bilion.

''Semua itu menunjukkan kegigihan dan komitmen yang tinggi kerajaaan Pusat dan negeri untuk melaksanakan projek itu yang bertujuaan memberi manfaat kepada setiap lapisan rakyat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Loji Rawatan Air Kepong II, di sini, hari ini.

Shaziman berkata, pada masa ini semua projek di bawah RMK-9 sedang rancak berjalan, manakala bagi projek yang sedang dilaksanakan di bawah peruntukan Wang Dana Khas pula, daripada 12 projek, 6 daripadanya telah disiapkan sepenuhnya yang memberi banyak manfaat kepada penduduk di negeri Terengganu.

''Sebahagian besar projek-projek tersebut dijangka dapat disiapkan pada penghujung tahun 2009 dan ini akan dapat membantu lagi usaha mengatasi masalah bekalan air di beberapa daerah di Terengganu.

''Selain daripada itu, ia juga dapat menjamin perkhidmatan bekalan air yang lebih cekap, berkesan dan berkualiti. Bekalan air yang mencukupi dan berkualiti akan dapat menjamin kehidupan rakyat yang lebih sihat dan selesa. Inilah matlamat Kerajaan sebenarnya, untuk merancang, melaksana dan menterjemahkannya dalam bentuk pembangunan," katanya.

Beliau menjelaskan, projek bekalan air Kuala Terengganu Peringkat IV adalah kesinambungan daripada Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Peringkat III yang dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan lagi pengeluaran bagi memenuhi keperluan domestik dan perindustrian di daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Projek ini, kata beliau, dirancang bagi memenuhi keperluan yang dijangka bertambah akibat pembangunan yang kian pesat di Kuala Terengganu dan Marang sehingga tahun 2015.

Shaziman memberitahu, projek bekalan Air Kuala Terengganu peringkat IV melalui peruntukan wang Dana Khas sebanyak RM149 juta melibatkan pembinaan Loji Air Kepong II berkapasiti 180 juta liter sehari, 10 buah tangki air dan paip air sepanjang 46.6km.

''Walaupun projek ini melibatkan kos yang agak besar, tetapi faedahnya telah pun dapat dirasai dan dinikmati oleh penduduk-penduduk di Kuala Terengganu dan Marang.

''Loji Air Kepong II ini telah dapat membekalkan keperluan air untuk 190,000 orang penduduk di daerah Kuala Terengganu dan 80,000 orang penduduk bagi daerah Marang. Loji ini mampu untuk membekalkan 65 peratus daripada keperluan penduduk di kedua-dua daerah tersebut," katanya.

Beliau berkata, baki keperluan air sebanyak 35 peratus di Kuala Terengganu dan Marang pula ditampung daripada loji-loji air yang lain yang telah dibina sebelum ini di bawah Projek bekalan air Terengganu Peringkat III.

''Saya yakin dengan siapnya Projek bekalan air Terengganu Peringkat III dan IV maka tidak timbul lagi masalah bekalan air di Kuala Terengganu dan juga Marang sehingga tahun 2015," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url