DUN Batu Buruk dapat tiga masjid baru

Kerajaan negeri akan membina tiga buah masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di sini untuk kegunaan penduduk di kawasan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ia merupakan sebahagian daripada program tahunan kerajaan negeri untuk menyediakan 32 buah masjid setahun bagi kegunaan rakyat Terengganu.

‘‘Kerajaan negeri telah mengenal pasti tiga kawasan untuk dibina masjid berkenaan iaitu Kampung Kubang Ikan, Permint Jaya dan Kampung Gong Tok Nasek.

‘‘Saya berharap masjid-masjid ini dapat diimarahkan dengan sebaik mungkin dan tidak menjadi tempat untuk memecahbelahkan umat Islam,” katanya selepas majlis pecah tanah tapak Masjid Kampung Kubang Ikan di sini hari ini.

Ahmad berkata, masjid di Kampung Kubang Ikan mampu menampung kehadiran kira-kira 1,000 jemaah pada satu masa.

‘‘Masjid ini yang melibatkan peruntukan kira-kira RM4.5 juta akan dibina bermula hari ini,” katanya.

Beliau memberitahu, dua lagi masjid dijangka dibina dalam tempoh terdekat ini kerana kajian mengenainya masih dijalankan.

‘‘Masjid di Permint Jaya dijangka dibina pada pertengahan tahun ini kerana tanah untuk pembinaan telah sedia ada manakala masjid di Kampung Gong Tok Nasek masih dalam kajian,” jelasnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url