Siti Nurhaliza sokong boikot barangan Amerika


Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 30, menyokong tindakan memboikot barangan buatan Amerika Syarikat (AS) dan Israel sebagai bantahan pencerobohan tentera Zionis di Gaza.

Malah, Siti juga mengakui dia tidak lagi membeli kopi Starbucks dan makanan segera McDonald's selepas membaca laporan akhbar tentang usaha pemboikotan tersebut.

''Sebagai manusia, saya cukup geram dengan apa yang telah berlaku di bumi Palestin dan menyaksikan apa yang tersiar dalam media massa tentang kekejaman tentera Israel sememangnya menyentuh hati saya.

''Saya juga menyeru kepada semua masyarakat agar bersatu untuk terus memboikot produk dan barangan keluaran negara terbabit agar mereka tahu bahawa perlakuan itu sememangnya cukup kejam,'' katanya pada majlis pelancaran albumnya yang ke-13, Lentera Timur di ibu negara di sini hari ini.

Katanya, setiap kali melihat kanak-kanak Palestin terbunuh akibat serangan oleh pihak tentera Israel, nalurinya akan tersentuh.

Untuk itu, penyanyi itu menerusi syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. turut menyumbang sebanyak RM2,000 bagi mengisi Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) yang ditubuhkan Kumpulan Utusan bersama Islamic Relief Malaysia (IRM).

Sumbangan telah disampaikan sendiri oleh Siti kepada wakil Utusan, Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa.

''Sumbangan ikhlas saya ini sedikit sebanyak diharap dapat membantu meringankan beban dan penderitaan rakyat Palestin. Saya juga akan terlibat dalam sebuah konsert amal untuk Palestin pada 31 Januari ini.

''Inilah sahaja yang mampu saya lakukan untuk membantu saudara sesama agama dan saya juga menyeru kepada rakan-rakan artis untuk sama-sama membantu mereka yang sedang menderita ini,'' ujarnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url