Awasi pembunuh senyap - sakit jantung & angin ahmar

Akhir-akhir ini, kes serangan penyakit jantung dan angin ahmar (strok) di sekeliling kian kerap didengari, seakan-akan kini musim penyakit itu.

Walaupun tiada statistik rasmi berkenaan dengan isu ini, namun hakikatnya angka kematian akibat penyakit jantung, strok dan komplikasi diabetes di negara ini melonjak naik setiap tahun.

Faktor luaran seperti tekanan hidup dan perubahan gaya hidup berikutan kemelesetan ekonomi juga merupakan faktor risiko yang menggugat kesihatan rakyat.

Maka, tidak kira orang politik atau rakyat jelata, kita harus lebih peka pada gejala penyakit yang timbul dan perlu menerima pemeriksaan dan rawatan awal.

Dalam dua puluh tahun kebelakangan ini, bidang perubatan telah mengetengahkan istilah metabolic syndrome atau sindrom metabolik untuk mencegah penularan penyakit kronik secara lebih berkesan.

Sindrom metabolik telah dikemukakan oleh Prof Gerald Reaven dari Universiti Stanford pada tahun 1988 dan menarik perhatian pengkaji dalam dunia perubatan. Sindrom ini terdiri daripada sekumpulan faktor risiko yang membawa kepada penyakit arterosklerosis, diabetes, strok dan penyakit kronik yang lain.

Mengikut kriteria Pertubuhan Diabetes Antarabangsa, untuk dikelaskan dalam sindrom metabolik, seseorang itu harus mempunyai kegemukan abdomen berserta dengan sekurang-kurangnya dua daripada petanda yang berikut, iaitu tekanan darah yang meninggi, tahap glukosa darah yang meningkat, tahap trigliserida darah yang meningkat atau tahap kolesterol HDL darah yang menurun.

Kajian menunjukkan bahawa individu bersindrom metabolik membawa risiko yang sama seperti menghisap dua kotak rokok setiap hari dan juga mempunyai tiga kali ganda risiko diserang sakit jantung dan strok, malah lima kali ganda risiko dihinggapi penyakit diabetes.

Sindrom metabolik dapat menerangkan banyak fenomena penyakit, misalnya mengapakah orang yang kelihatan sihat sahaja tiba-tiba mati secara mengejut. Kenapakah tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung selalunya datang sekali gus semacam dalam satu pakej, bagaimanakah kegemukan meningkatkan risiko diabetes, dan sebagainya.

Jika pada masa dahulu, kegemukan, tekanan darah tinggi, paras glukosa yang tinggi dan sebagainya selalu dilihat sebagai faktor-faktor yang berasingan, namun kini konsep sindrom metabolik telah menghubungkaitkan kesemua faktor itu dan menghasilkan satu perspektif baru yang lebih luas dan berkesan dalam pencegahan penyakit.

Sebagai contoh, tahap glukosa darah yang meningkat biasanya dilihat sebagai punca kepada diabetes. Namun, kurang diberi perhatian bahawa sakit jantung yang meragut nyawa sebenarnya bermula daripada masalah glukosa darah.

Apabila glukosa darah bertambah, lebih banyak hormon insulin akan dirembeskan oleh pankreas untuk membawa glukosa berlebihan memasuki sel badan.

Apabila kepekatan glukosa dan juga insulin yang beredar dalam saluran darah semakin tinggi, ditambahi dengan tekanan darah yang meningkat, kemungkinan besar lapisan dalam permukaan saluran darah akan terluka bagaikan dicalar. Seterusnya, plak akan terbentuk apabila badan mengambil tindakan untuk membekukan darah.

Dengan permukaan yang berplak, akan mula terkumpul kolesterol, lemak, sel-sel mati dan sebagainya di bahagian itu dan terbentuk gumpalan yang semakin membesar. Pada waktu itu, individu itu selalunya tidak lagi terasa apa-apa yang tidak kena pada badannya.

Malapetaka akan menimpa dalam keadaan badan tertentu, contohnya ketika tekanan darah meninggi secara mendadak. Dalam tekanan darah yang tinggi, gumpalan itu mungkin akan tertanggal dari permukaan dalam saluran darah dan terbawa-bawa dalam pengaliran darah.

Bayangkanlah sebiji bola ping pong yang terjatuh ke dalam kolam simpanan air besar, terbawa ke dalam paip air yang besar dan akhirnya sampai di paip air kecil rumah kita, pastinya akan menyumbatkan paip air rumah dan menyebabkan bekalan air ke rumah terputus.

Keadaan yang sama terjadi apabila gumpalan tersebut menyumbatkan pembuluh darah yang membawa oksigen ke jantung, mengakibatkan serangan jantung yang membawa maut.

Sindrom metabolik bagaikan pembunuh senyap yang mengamuk dan membunuh tanpa disedari atau tidak diawasi gejalanya. Oleh itu, sindrom ini harus diberi perhatian yang serius dalam penjagaan kesihatan.

Kita bersyukur kerana Kementerian Kesihatan dan badan-badan berkenaan banyak berusaha untuk menyebarluaskan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran rakyat tentang penyakit kronik di negara ini.

Namun, kajian dan kempen kesedaran berasaskan konsep sindrom metabolik masih belum lagi banyak diusahakan. Pada pengetahuan penulis, banyak negara luar termasuk negara serantau telah menubuhkan badan seperti persatuan pencegahan sindrom metabolik.

Terdapat juga universiti di luar negara yang menubuhkan unit atau institut pengajian sindrom metabolik. Sehubungan itu, dalam konteks Malaysia, lebih banyak tenaga pakar dalam bidang ini patut dilatih atau diupah.

Unit kajian dan pencegahan yang khas untuk menangani sindrom metabolik juga harus ditubuhkan untuk merancang strategi pencegahan jangka masa panjang yang pastinya dapat menyumbang pada peningkatan tahap kesihatan rakyat secara lebih berkesan.

Pada tahap individu, kita memang dapat memperoleh pelbagai maklumat tentang penjagaan kesihatan dalam era teknologi maklumat ini tetapi yang penting, praktiskan pengetahuan kesihatan kita dalam kehidupan seharian.

Gaya hidup yang sihat seperti pemakanan yang seimbang dapat mencegah sindrom metabolik dan juga akibat buruknya.

Sir William Osler yang terkenal sebagai Bapa Perubatan Moden pernah berkata. "Kita semua adalah orang yang berdosa dalam soal pemakanan, oleh sebab hanya sebahagian kecil daripada apa yang kita makan memberi khasiat kepada badan, yang selebihnya menjadi bahan buangan yang membazirkan tenaga".

Marilah kita memeriksa cara pemakanan kita selalu dan mengamalkan pemakanan seimbang untuk menjauhi pembunuh senyap dalam kelembapan ekonomi masa ini.
Next Post Previous Post
1 Comments
  • kak_ross
    kak_ross Jumaat, 27 Februari 2009 pada 10:24:00 PG SGT

    sebuah info yang baik untuk dikongsi bersama...

Add Comment
comment url