Top Ad 728x90

Ubah pendekatan perangi rasuah

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Pengauditan dan Perakaunan Forensik, Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia

Sejarah menunjukkan bahawa tumbangnya Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511 antaranya akibat kerakusan dan ketamakan rakyatnya menerima rasuah. Ini menunjukkan bahawa rasuah sudah bermula dari dahulu lagi.

Rasuah merupakan barah bagi sesebuah negara. Sebaik-baiknya barah perlu dicegah dari awal bukannya diubati bila sudah kritikal.

Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanglah sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh semua rakyat Malaysia. Bermula hari semalam, rakyat akan memerhati apakah tindakan yang bakal dilakukan oleh SPRM bagi memerangi rasuah dari segenap segi.

Kejayaan SPRM akan menjadi petanda aras oleh rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan dalam memerangi rasuah.

Pelantikan 42 tokoh dalam bidang yang berbeza merupakan suatu tindakan permulaan agar SPRM lebih berkesan dan cekap dalam memerangi rasuah. SPRM perlulah bertindak cepat dan profesional agar kes-kes rasuah dapat diselesaikan tanpa tertangguh dalam jangka masa yang lama.

Sudah tentunya tokoh-tokoh yang dilantik dapat memberi idea yang bernas agar segala kelemahan sebelum ini semasa wujudnya Badan Pencegahan Rasuah (BPR) dapat diatasi secara berterusan dan berkesan.

SPRM hendaklah bertindak secara profesional dengan menangkap pihak-pihak yang terlibat dengan rasuah dan menyegerakan tindakan tanpa memilih bulu.

Kajian menunjukkan bahawa jika pihak atasan terlibat dengan penyelewengan atau rasuah, pihak bawahan juga akan menjadikannya sebagai teladan kerana beranggapan bahawa rasuah adalah perkara biasa.

Sudah sampai masanya kes-kes yang berprofil tinggi diambil tindakan yang sewajarnya. Jika pihak yang berkenaan tidak bersalah perlulah diperjelaskan kepada rakyat agar rakyat tidak memandang serong terhadap apa yang telah berlaku.

Tindakan melalui undang-undang yang sedia ada dan penggubalan undang-undang yang baru merupakan suatu lagi tindakan yang proaktif. Sudah diketahui umum, pada awal tahun ini, sesiapa saja yang membuat pengaduan kes-kes yang berprofil tinggi dan kes tersebut adalah benar akan diberikan imuniti.

Undang-undang ini membolehkan pengadu lebih berani untuk melaporkan kes-kes rasuah yang berlaku di hadapan matanya. Undang-undang lain juga perlu digubal dengan memberi kuasa yang lebih luas kepada pihak SPRM untuk menangkap pesalah-pesalah rasuah.

Salah satu tindakan yang proaktif ialah mengenal pasti jabatan-jabatan kerajaan yang mempunyai potensi besar berlakunya rasuah. Kenal pasti setiap transaksi-transaksi yang berlaku dan pihak SPRM tidak seharusnya hanya menunggu laporan daripada pengadu sahaja, baru tindakan diambil.

Jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat secara langsung dengan rakyat dan merupakan jabatan yang kritikal sebagai pelaksana kerajaan haruslah diselidiki.

Kemungkinan juga rasuah tidak berlaku di jabatan-jabatan ini tetapi persepsi tentang berlakunya rasuah di jabatan-jabatan tersebut perlu dibersihkan agar rakyat akhirnya mengetahui bahawa itu hanya omong-omongan biasa sahaja.

Tetapi jika rasuah memang berlaku, segerakan tindakan kepada pihak-pihak berkenaan.

Pihak-pihak lain terutamanya juruaudit dalam dan juruaudit luar patut membantu SPRM. Juruaudit dalam sama ada di sektor awam atau swasta memainkan peranan yang amat penting dalam mengenal pasti sebarang penyelewengan yang berlaku.

Sudah sampai masanya mereka juga mendapat kuasa yang lebih luas lagi agar rasuah dapat dilaporkan kepada SPRM. Juruaudit dalam merupakan antara barisan hadapan yang dapat mengenal pasti sebarang penyelewengan atau rasuah yang berlaku di dalam organisasi.

Begitu juga untuk juruaudit luar, Akta Syarikat 1965 Seksyen 174(8A) yang memberi kuasa kepada juruaudit luar untuk melapor sebarang penyelewengan hanya terpakai untuk syarikat senaraian awam sahaja hendaklah diperluaskan kepada syarikat sendirian berhad.

Tindakan sahaja tidak mencukupi jika tidak disertakan dengan kesedaran daripada semua pihak dan peringkat umur. Kini sampai masanya anak-anak kecil dididik membenci rasuah. Didikan awal yang diberi akan menghasilkan masyarakat yang berintegriti apabila anak-anak kecil ini menjadi pemimpin suatu hari nanti.

Di sini, peranan semua pihak terutama ibu bapa dan guru amat penting dalam menerapkan nilai-nilai murni dan integriti di dalam sanubari anak-anak.

Kajian juga haruslah dijalankan untuk mengenal pasti ciri-ciri pelaku rasuah, punca berlakunya rasuah, bagaimana bentuk rasuah dilakukan, golongan mana yang banyak melakukan rasuah dan pelbagai persoalan lagi yang dapat membantu pihak SPRM dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Mengenal pasti punca-punca rasuah dapat membantu pihak berwajib mencari penyelesaian dalam kes-kes rasuah dan seterusnya dapat mengurangkan kes rasuah pada tahap paling minimum.

Dalam suasana kegawatan ekonomi sekarang, kemungkinan besar lebih banyak lagi kes rasuah akan berlaku. Dengan desakan hidup yang menimpa sekarang, seseorang mungkin boleh terjebak dalam gejala rasuah untuk meneruskan kehidupannya.

Penyelesaian perlu diambil kira agar perkara ini tidak berlaku. Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua pihak bukan sahaja SPRM agar rasuah wajib diperangi habis-habisan secara menyeluruh.

Hidup tanpa rasuah akan meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan sesuatu organisasi. Janganlah sehingga rasuah menjadi budaya dan amalan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia, baru tindakan hendak diambil.

Pendekatan memerangi rasuah habis-habisan pastinya meningkatkan kepercayaan dan keyakinan pelabur-pelabur dalam membuat pelaburan di dalam negara ini. Akhirnya, yang mendapat keuntungan pastinya rakyat Malaysia itu sendiri.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90