Keunikan Auckland, New Zealand


AUCKLAND, New Zealand. Menyebutnya saja mungkin sukar tetapi sebaik menjejakkan kaki ke sana, kepayahan mengungkap Auckland pasti hilang kerana kagum dengan keindahan alam semula jadinya serta pelbagai tarikan pelancongan yang ada di sini.

Apa tidaknya, Auckland atau nama asalnya Akarana, mengikut bahasa Maori - kaum Pribumi New Zealand, memaparkan keindahan yang memukau, gabungan ciri moden kota kosmopolitan dengan deretan bangunan pencakar langit tetapi pada masa sama dikelilingi landskap alam semula jadinya seperti lautan, taman serta tasik yang mempesonakan.

Oleh itu, kesempatan ke Auckland tidak hanya memberi peluang menyelami kehidupan penduduknya yang serba moden, tetapi turut membolehkan pengunjung mendekati keunikan alam semula jadinya - lautan terbentang luas , kehijauan banjaran serta kawasan gunung berapinya yang selama ini mungkin hanya diperoleh menerusi buku rujukan.

Auckland yang juga bandar raya terbesar New Zealand, turut mempunyai keunikan tersendiri iaitu kewujudannya di atas kira-kira 50 kawasan gunung berapi mati dalam bentuk tasik, taman, serta pulau kecil.

Bandar ini didiami 1.3 juta penduduk, terletak di antara kawasan perairan Teluk Hauraki di Lautan Pasifik di sebelah timurnya yang merentasi ke Banjaran Hunua, Pelabuhan Manukau dan Banjaran Waitakere.

Auckland turut dikenali sebagai ‘Bandar Pelayaran’ kerana kegilaan ramai penduduknya terhadap sukan bot layar. Tidak hairanlah, mengikut statistik, setiap isi rumahnya memiliki empat bot layar. Ketika musim panas, Teluk Hauraki dipenuhi bot serta kapal layar penduduk tempatan serta orang asing yang mahu menikmati keseronokan melakukan pelayaran di persekitaran cuaca menarik serta angin yang kencang.

Bagi mereka yang sukakan alam serta keunikan fauna, kunjungan ke Whale and Dolphin Safari atau Safari Ikan Paus dan Ikan Lumba-Lumba di Teluk Hauraki tidak harus dilepaskan. Kawasan ini disenaraikan antara habitat terbaik yang kaya dengan pelbagai sumber makanan bagi mamalia marin. Atas faktor inilah, sebanyak 22 spesies ikan lumba-lumba dan ikan paus ditemui di perairan ini.

Atas alasan itulah, kemungkinan melihat kelibat haiwan mamalia ini amat tinggi iaitu 90 peratus bagi ikan lumba-lumba serta 70 peratus bagi ikan paus, sepanjang tahun. Sambutan hangat yang diterima menyebabkan jadual perjalanan bot dari Pelabuhan Viaduct, diadakan setiap hari.

Peminat bunga mawar pula harus mengunjungi Dove Myer Robinson Park pada tempoh antara Oktober hingga April kerana inilah masanya bunga ini kembang dengan mekar. Taman yang lebih popular dengan nama Parnell Rose Gardens, mempunyai ratusan jenis varieti baru dan lama bunga mawar, termasuk yang popular di peringkat antarabangsa.

Selain tarikan alam semula jadinya, tumpuan utama pelancong ke Auckland adalah kegiatan atau aktiviti ‘ekstrem’ yang ada di sini. Ini termasuk Sky Walk yang beroperasi di atas menara telekomunikasinya, Sky Tower.

Tapi awas, aktiviti ekstrem ini hanya sesuai bagi mereka yang berjiwa berani serta tidak gayat. Bayangkan keadaannya apabila nyawa individu itu cuma terletak pada seutas tali keselamatan dan berjalan mengelilingi pelantar Sky Tower pada ketinggian kira-kira 192 meter di udara.

Jika itu belum mampu mencetuskan rasa gerun, bayangkan keadaannya apabila anda terpaksa menseimbangkan diri, berjalan melawan angin tanpa berpegang pada mana-mana tiang pun! Bagi mereka yang berani, sudah pasti cabaran itu bukan satu masalah kerana apa lebih penting adalah kepuasan menikmati keindahan persekitaran bandar Auckland dari Sky Tower berkenaan.

Andai ini belum cukup, satu lagi aktiviti ekstrem yang boleh dicuba adalah terjunan bungy AJ Hackett. Ramai yang tidak tahu Auckland adalah lokasi pertama terjunan bungy jambatan di dunia. Cabaran ini terletak di jambatan di kawasan Pier 2, Pelabuhan Waitemata.

Selain menggunakan kaedah terkini bagi sukan ini, pengunjung juga ditawarkan beberapa pilihan terjunan termasuk jenis yang membolehkan peserta terjun dan menyentuh permukaan air.

Namun, acara ini hanya dibuka kepada mereka berusia 10 tahun ke atas.

Apa yang pasti, kunjungan ke Auckland tidak akan menghampakan mereka yang mahu melihat dua ‘dunia’ dalam satu masa serentak - keindahan alam semula jadinya serta mencuba aktiviti ekstremnya yang mengujakan.

INFO: Antara tempat menarik di Auckland

-Whale & Dolphin Safari
-AJ Hackett Bungy
-SkyWalk
-Sky Tower
-Galeri Seni Toi o Tamaki
-Botanic Garden
-Auckland Museum
-Great Barrier Island
-Parnell Rose Gardens
-Whitford Bird Garden
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url