Kisah Teladan - Ditipu kaki perempuan

Mari kita sama-sama ikuti kisah seorang isteri bernama Junaidah yang mendakwa dirinya tertipu sewaktu berkahwin dengan lelaki yang mendakwa duda, sedangkan dalam masa yang sama dia telah pun mempunyai dua orang isteri.

Jun dalam e-mel ringkasnya kepada penulis dan setelah kami berbual panjang melalui telefon kerana tidak berkesempatan berjumpa disebabkan kesibukan tugasnya, beliau berkata, tidak menyangka boleh tertipu, sudahlah teraniaya semasa berkahwin setelah berkahwin pun hidupnya masih lagi dibelenggu dengan kehidupan bekas suaminya bersama kekasih-kekasihnya yang sentiasa mengganggu hidupnya.

"Saya kenal dengan Morad secara kebetulan kerana urusan pekerjaan saya. Oleh kerana dia baru bertukar tugas di daerah K dia kerap datang berjumpa saya, pantang ada urusan pejabatnya dengan jabatan tempat saya bekerja, dialah orang pertama dengan sukarela datang ke pejabat saya. Sambil itu adalah saja halnya ajak saya minumlah, ajak makan dan macam-macan lagi.

"Kadang-kadang dia belikan makanan untuk saya, katanya buat belanja kawan-kawan. Ingatkan dia ikhlas rupanya buat baik ada makna di situlah saya 'terkena' entah apa yang dibubuhnya. Kenal tak lama saya terus terima lamarannya untuk berkahwin, katanya dia duda. Bila beritahu ayah mereka suruh keluarga Morad masuk meminang.

"Tapi Morad mengelak, saya pula ikut cakap Morad tak dengar nasihat ibu dan ayah. Dia ajak saya kahwin lari ke Siam. Saya jadi bodoh terus ikut. Dah kahwin mak bapak tentulah mengamuk tapi saya tak peduli saya ikut telunjuk Morad, kami sewa rumah sendiri. Happy!

"Bila dah kahwin tiga bulan baru saya nampak jelas perubahan Morad dia memang jarang balik ke rumah saya alasannya standby, kena buat serbuan ada tangkapan dan macam-macam, saya pun percayalah kerana memang kerjanya macam itu. Dia bukan anggota polis atau tentera, tetapi bila ada isu kenaikan harga barang dialah jadi hero tangkap sana tangkap sini.

"Masa mula kahwin dulu dia pakai kancil saja, lepas tu dia pakai motor kapcai, itulah yang diusungnya sana sini, bila saya tanya mana kereta dia kata simpan di pejabat. Sebab dengan motor cepat boleh ke tempat kerja, sedangkan saya dia suruh naik bas ke pejabat. Dia tak beri saya pakai keretanya, dan tidak pula mahu hantar saya ke pejabat. Masa mengandung memang saya terasa susah ke tempat kerja, tapi dia tak peduli, katanya naik bas lagi bagus.

"Dalam pada itu kecurigaan saya mula menjadi-jadi terhadap Morad. Terutama bila saya ajak dia daftarkan perkahwinan kami di daerah K, dia beri pelbagai alasan, sibuk dan banyak kerja. Sejak itu saya rasa amat bersalah kerana tidak dengar nasihat ibu dan ayah.

"Kecurigaan juga mengajar saya mendekatkan diri dengan tikar sembahyang dan membaca Yasin juga Al-Quran setiap malam, kerana bila tinggal seorang saya ada banyak masa lapang tambahan pula ketika itu saya sedang hamil, dan kata orang baik kalau rajin membaca.

"Rupa-rupanya lagi banyak saya membaca Yasin lagi banyak karakter Morad terbongkar, dia jadi pemarah, pembengis dan semakin tidak mahu bertanggungjawab kepada rumah tangga. Saya memohon kepada Allah semoga Morad lebih jujur dan menjadi suami serta ayah yang baik.

"Tujuh bulan kemudian kisahnya terbongkar lagi, melalui seorang kawan memberitahu bahawa Morad sebenarnya ada dua orang isteri. Isteri pertamanya tidak ada anak, sementara isteri kedua ada dua orang. Semasa saya hamil isteri pertamanya pun hamil sama. Sejak itulah Morad lebih kerap duduk di rumah isteri pertamanya berbanding rumah saya.

"Rupanya lelaki berpoligami ini kalau kita tak tahu dia sudah berkahwin dia akan baik dengan kita, sebab nak sorok tembelangnya, tetapi sebaik sahaja rahsianya terbongkar dia tunjukkan belangnya, kerana tak perlu menyorok lagi, mulalah jarang-jarang balik ke rumah saya. Dan dia tak suka kalau ditanya kenapa balik lewat, atau meminta keadilan.

"Semasa melahirkan anak pun dia tak datang ke hospital alasannya tak mahu jumpa ibu bapa saya. Oleh kerana tidak ada orang menjaga semasa dalam pantang, ibu mengajak saya balik ke rumah, dan saya tidak ada pilihan. Sejak itulah saya mula sedar diri, dan setelah berubat.

"Oleh kerana dia dah ada dua orang isteri dan tidak bertanggungjawab dan tidak ada keadilan, saya minta diceraikan. Tambahan pula saya telah sedar tentang aktivitinya di luar waktu bekerja. Saya tak mahu dia beri makan kami dengan duit yang tak betul.

"Saya pernah dengar cerita dia hampir-hampir kena cekup pasal jual disel haram tetapi terlepas sedangkan kawan-kawan yang baru nak cuba-cuba ditangkap. Tapi sampai bila dia boleh terlepas, 'sepandai-pandai tupai melompat, satu hari jatuh juga ke tanah.'

"Dia pandai main wayang sana sini pakai motor kapcai, sedangkan di rumah isterinya ada dua buah kereta atas nama isterinya, supaya orang tak tahu. Itu baru kereta, benda-benda lain tak tahulah berapa banyak lagi yang dia dapat cara tak betul. Hidupnya memang mewah, selalu tidur di hotel di merata negeri sebab saya pernah terjumpa bil dalam buku hariannya. Sedangkan kerjanya tak perlu ke luar daerah. Dengan siapa dia tidur kalau tidak dengan kekasihnya.

"Lagi menyakitkan hati dia ada banyak teman wanita, sayalah jadi mangsa terima SMS yang bertanya itu ini dan menyakitkan hati saya. Ada yang tak malu-malu bercerita mereka akan kahwin. Saya tak kisah kalau mereka nak kahwin, tapi tolong jangan ganggu hidup saya. Walaupun saya cuba menerangkan keadaan sebenar bahawa saya adalah isteri ketiga, kerana Morad ada dua isteri lagi, tetapi mereka tak percaya, sebaliknya mendakwa semua isterinya itu telah diceraikan. Tinggal saya seorang, jadi sayalah jadi mangsa mereka.

"Selepas empat tahun memujuk, mengamuk dan bertengkar supaya Morad berubah ataupun berlaku adil tetapi dia masih berkeras, akhirnya kerana sering bergaduh Morad ceraikan saya. Lega rasanya. Saya fikir tentu lepas ini hidup saya lebih tenang, malangnya saya masih terima SMS dan panggilan telefon daripada wanita yang gilakan Morad. Saya rasa tentu dia dah kena tipu atau telah dipermainkan.

"Kes terbaru dengan seorang wanita mengaku janda anak dua telefon saya bertanya tentang Morad, dia tanya betul atau tidak kami dah bercerai. Saya kata benar, tapi dia ada dua isteri lagi. Dia kurang percaya, saya kata kahwilah nanti boleh tahu siapa Morad sebenarnya.

"Tapi katanya dia jumpa bil hotel Genting milik Morad dan bertanya apakah Morad pergi dengan saya. Saya kata itu mungkin dengan kekasihnya yang lain. Morad tak pernah bawa mana-mana isterinya tidur di hotel atau bawa kami berjalan-jalan, dia suka mencari hiburan sendiri.

"Sebenarnya saya dah meluat ditanya dan diminta pengesahan tentang aktiviti Morad, saya dah menyampah, sebab bukan seorang dua wanita yang telefon dan hantar SMS dengan saya, tapi ramai buat macam tu, saya dah benci.

"Menurut wanita ini, Morad ajak dia kahwin. Tetapi daripada apa yang wanita ini bercerita, Morad minta dia naikkan failnya ke atas sebab dia nak disahkan kenaikan pangkatnya sebab dah lama kerja. Kerana wanita ini bekerja di jabatan yang boleh meluluskan permohonannya.

"Morad memang pandai mencari wanita yang boleh memenuhi kehendaknya. Kalau yang berharta lagi dia suka. Sebab dia boleh tumpang sekaki, dapat kemudahan kerja dan wang.

"Selang dua hari seorang lagi wanita telefon saya bertanyakan soalan yang sama sambil menceritakan kawan sebiliknya seorang pelajar universiti merancang nak kahwin dengan Morad, dia nasihatkan pelajar ini, tetapi tak diindahkan. Jawapan saya senang sahaja, biarkan dia kahwin baru dia tahu siapa Morad sebenarnya.

"Sekarang lebih senang dengan surat cerai saya dia usung sana sini beritahu ramai wanita dia duda, tanpa memberitahu bahawa dia ada dua isteri dan empat orang anak. Inilah dia jenis lelaki yang suka mempermainkan wanita umur dah lebih 40 tahun tapi masih tak sedar diri,'' Demikian cerita Junaidah tentang suaminya yang pandai 'ilmu', kaki perempuan, pembohong, dan penipu.

Benar seperti kata Jun, tunggulah masa dan ketikanya bila tupai jatuh ke tanah. Tapi orang macam ini memang payah dan berubah, kerana dah jadi darah dagingnya berbohong dan suka 'berilmu' untuk kepentingan hidupnya di dunia ini.

Kata Jun lagi dia mula sedar diri setelah membuang cincin yang dihadiahkan oleh Morad ketika mereka berkenalan dulu dan ditambah sebentuk lagi setelah mereka berkahwin. Rupanya zaman ini semakin ramai mereka yang percayakan kepada kuasa-kuasa asing selain Alllah SWT.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url