Lelaki sekarang lebih bergaya

Kebanyakan lelaki pada hari ini mengambil berat pada penampilan diri. Jangan hairan jika almari pakaian mereka kini penuh dengan pelbagai koleksi pelbagai mengikut keperluan majlis. Pakaian juga memainkan peranan besar dalam memberikan imej atau gambaran positif mengikut bidang kerjaya. Jika mereka yang bekerja di pejabat, imej perlu selari dengan pakaian yang kemas dan formal.

Penampilan

Jika dahulu, golongan ini jarang mengikut kesesuaian pakaian untuk ke tempat kerja, bersiar-siar dan majlis formal tetapi sekarang mereka lebih mengambil berat tentang keperluan penampilan.

Sudah pasti gaya ke tempat kerja berbeza dengan penampilan ke majlis formal. Kebiasaannya, di pejabat lelaki berpakaian kemeja sama ada berlengan panjang atau pendek dengan padanan tali leher atau pun cukup sekadar kemeja berkolar. Bagi mereka yang ingin ke majlis formal, padanan baju kot khususnya berwarna hitam masih menjadi pilihan golongan ini. Bagi mereka yang ingin menghadiri majlis keramaian yang agak santai, pilihlah kemeja-T yang berkolar dengan seluar panjang. Pada hari ini, kebanyakan lelaki juga menggemari gaya santai dengan padanan seluar pendek, kemeja-T dan topi yang tampak lebih kasual. Tidak kurang pula yang memilih jaket sebagai pelengkap gaya di samping padanan aksesori seperti beg atau cermin mata hitam. Bagi lelaki yang gemarkan aktiviti lasak seperti sukan, bolehlah memakai kasut sukan.

Pada tahun ini jenama pakaian lelaki antarabangsa, Crocodile memilih konsep rekaan kontemporari yang diilhamkan daripada unsur lama kemudian diadaptasi dalam elemen moden. Kebanyakan rekaan ini direka semula dalam bentuk baru. Walaupun ia nampak ringkas tetapi realitinya ia sebenarnya sukar kerana pereka terpaksa mencari kelainan pada setiap koleksi pakaian lelaki kali ini.

Pereka juga menggunakan pola warna baju yang agak sederhana bercirikan kelakian sebagai tema warna utama.

Warna-warna ini menonjolkan ciri keberanian lelaki agar kelihatan lebih mudah dan segar.

Walaupun ia menggunakan ilham rekaan lama, sentuhan moden tidak ketinggalan diterapkan dengan penggunaan fabrik yang bermutu tinggi.

Setiap pakaian yang direka memenuhi gaya bersahaja apabila dipakai.

Di samping itu, gaya yang tampak sederhana mewujudkan penampilan yang harmoni.

Bagi peminat jenama Crocodile, pilihan pakaian sukan merupakan koleksi yang sesuai bagi mereka yang tidak ingin kelihatan konservatif.

Kebanyakan elemen rekaan Crocodile melahirkan rekaan untuk golongan lelaki yang inginkan penampilan moden tetapi bersahaja.

Sementara itu, Crocodile turut menggunakan salah satu elemen dalam setiap rekaan yang dijahit dengan teliti seperti gaya klasik polo sebagai peringatan hari gemilang di Oxford.

Koleksi musim panas ini sudah pun berada di pasaran mulai bulan ini dan boleh didapati di Butik Crocodile Antarabangsa secara eksklusif di Pavilion, Berjaya Times Square, One Utama dan cawangan-cawangan lain di seluruh negara.

Panduan fesyen untuk lelaki

- Bagi lelaki yang tinggi, elakkan memakai baju dengan garisan jalur halus, jalur menegak dan jaket ketat

- Pakai jaket sedikit labuh dan seluar panjang dengan potongan pinggang rendah bagi mereka yang tinggi.

- Lelaki juga boleh bergaya dengan kemeja panjang putih dipadankan dengan jeans hitam agar penampilan nampak klasik dan bergaya.

- Cubalah kemeja berjaket ketika bersiar-siar untuk gaya yang lebih muda.

- Kemeja berlengan panjang sesuai untuk penampilan majlis formal dan ke pejabat.

- Elakkan memakai seluar yang terlalu labuh atau singkat.

- Bagi menjaga penampilan, elakkan memakai baju yang berkedut.

- Bagi lelaki yang rendah, elakkan memakai seluar singkat dan cuba pakai kemeja berlengan yang dipadankan dengan seluar panjang.

- Lelaki yang rendah juga boleh memakai baju bercorak seperti kemeja-T berjalur menegak atau seluar panjang berpotongan lurus.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url