Komentar - Latihan komando bukan zalim
Klip video latihan keras unit komando yang tersiar dalam Buletin Utama TV3 pada 3 Februari lalu pasti menimbulkan banyak persepsi positif dan negatif. Umum sememangnya faham bahawa anggota komando adalah anggota tentera terbaik negara dan setanding dengan US Green Barret, British SAS, GIGN, Spetsnaz dan seumpamanya.
Negara memang memerlukan anggota komando yang berkualiti dan mampu melaksanakan misi-misi sulit yang mencabar.
Tidak adil sama sekali untuk mengatakan bahawa latihan-latihan ketenteraan yang diamalkan adalah satu kezaliman.
Malah bagi setiap anggota tentera,latihan semasa aman adalah satu kebajikan untuk mereka sebelum menghadapi peperangan yang sebenar. Tidak ada istilah human rights semudah takrifan umum dalam peperangan.
Dalam pertempuran, sekiranya seseorang tentera tidak membunuh atau menawan musuhnya, macam mana beliau akan mempertahankan kedaulatan negara tercinta?
Namun setiap anggota tentera Malaysia sememangnya telah diterapkan etika peperangan Islam yang memelihara hak awam sewaktu peperangan.
Latihan komando bukannya latihan ala permainan paintball. Penyertaan ke unit komando adalah secara sukarela dan mereka yang tidak sanggup mengharungi cabaran boleh menarik diri pada bila-bila masa sewaktu latihan asas komando.
Hasilnya hanya mereka yang layak sahaja akan bergelar komando. Seterusnya truper-truper ini akan dilatih secara berterusan dengan kepakaran tertentu dan soal kualiti serta komitmen tidak ada kompromi sama sekali.
Setelah kepakaran lanjutan lima hingga lapan tahun barulah anggota truper terbabit boleh dikatakan matang dalam dunia komando.
Angkatan Tentera Malaysia memang menitik beratkan keselamatan di tempat kerja dan latihan.
Pemeriksaan kesihatan holistik untuk setiap anggota ATM diadakan secara berkala setiap dua hingga empat tahun sekali mengikut peringkat umur.
Setiap anggota yang akan menyertai sebarang latihan khusus pula akan menjalani pemeriksaan kesihatan yang teliti terlebih dahulu oleh doktor.
Anggota yang tidak cergas akan dihalang menyertai latihan tersebut.
Seterusnya sepanjang sesi latihan komando anggota paramedik ATM akan mengawasi tahap kesihatan fizikal dan psikologi setiap pelatih sepanjang masa dan memberi rawatan segera jika berlaku kecederaan serta merujuk pesakit kepada doktor dengan segera.
Adalah tidak adil untuk mereka yang di luar organisasi ATM untuk mengecam latihan yang dijalankan setelah menonton video klip tersebut dan mengatakan ATM mengabaikan keselamatan dan kebajikan anggotanya.
Insiden ini harus dijadikan iktibar kepada kepimpinan dalam ATM agar aspek kerahsiaan dalam latihan dan operasi diperkemaskan.
Adalah dicadangkan pengharaman penggunaan telefon bimbit dan kamera digital sewaktu latihan dan operasi bagi mengelakkan sebarang pembocoran maklumat sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Polisi pengharaman mengambil gambar di kawasan tentera harus diperketatkan kerana banyak gambar berkaitan ATM tersebar di laman web seperti MilitaryPhotos.Net dan seumpamanya.
Ada di antara gambar tersebut memaparkan wajah anggota komando Malaysia dan ini pasti menafikan elemen kerahsiaan dan keselamatan anggota tersebut.
Justeru diharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan terhadap suara-suara yang cuba mengganggu-gugat pertahanan negara dengan berselindung di sebalik perjuangan membela hak asasi manusia.
Kita tidak mahu berlaku penyusupan agen-agen asing ke dalam NGO di negara ini untuk melemahkan pertahanan negara ini seperti yang telah berlaku di Amerika Latin dahulu.
Cawangan peperangan dan perisikan elektronik hendaklah sentiasa memantau blog-blog yang membincangkan isu-isu pertahanan negara agar tidak bercambah pemikiran negatif terhadap dasar pertahanan negara.
Kepada para warga ATM anda adalah wira negara tidak kira apa peranan anda. Tentera benteng pertahanan negara.