Komentar - Pertarungan di dua bukit

Mungkin sudah ditakdirkan Barisan Nasional (BN) akan terus diuji kemampuannya sejak pilihan raya umum lalu apabila sekali lagi akan berhadapan dengan pilihan raya kecil.

Selepas kecundang di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, kini BN harus bersedia pula 'bertempur' buat kali ketiga dan keempat dengan pakatan pembangkang dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah pada 7 April nanti.

Sama ada hendak diakui atau tidak di atas kertas tiada siapapun yang berani menyatakan bahawa BN akan mencapai kemenangan sekali gus menebus maruahnya yang tercalar di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Jika ramalan bahawa BN akan tewas benar-benar berlaku ia akan memungkinkan terjadinya apa yang dikatakan, ''BN tergelincir di permatang, hanyut di kuala dan terhumban dari bukit.'' Persoalannya mahukan pemimpin dan anggota BN merelakan ini berlaku?

Kalau pertempuran 'di atas' Bukit Gantang dan Bukit Selambau, tidak menyebelahi BN, ia sudah pasti akan menjatuhkan imej parti tersebut dan ketika itu apa pun alasan yang diberikan oleh BN tidak akan dapat diterima oleh rakyat. Sebaliknya, ia akan membuka ruang seluas-luasnya kepada pembangkang untuk mendabik dada bahawa perjuangan mereka semakin diterima oleh rakyat.

Lebih malangnya, jika kekalahan itu terpaksa ditempuh oleh BN, ketika UMNO turun berkempen dengan barisan baru kepimpinan parti yang dipilih dalam pemilihan pada Mac nanti.

Justeru dalam berhadapan dengan pertarungan getir ini, BN harus turun sebagai under dog, tidak perlu menguar-uarkan keyakinan yang tinggi bahawa parti itu mampu merampas kembali kedua-dua kawasan berkenaan.

Bagi mengelakkan BN turut dalam keadaan tidak stabil, tidak perlulah mana-mana parti komponen mula 'bertekak' soal calon kerana mereka mesti memahami bahawa kedua-dua tempat itu amat penting demi maruah BN.

Biarpun sebenarnya dalam pertembungan kali ini BN hanya ingin merampas kerusi yang kini diduduki oleh pembangkang tetapi kedua-dua kawasan tersebut 'asal-usulnya' adalah milik BN.

Pada tahun 2004 contohnya, BN memenangi Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti 6,702 undi tetapi pada tahun 2008, BN tersungkur dengan majoriti 1,566 undi. Begitu juga dengan Bukit Selambau, BN menguasai pada tahun 2004 dengan majoriti 7,695 undi tetapi tewas pada tahun 2008 dengan majoriti 2,362 undi - paling menyedihkan kekalahan itu adalah di tangan calon bebas.

Oleh itu, parti-parti komponen BN perlu sedar bahawa pilihan raya kecil ini bukanlah untuk menegakkan panji-panji parti masing-masing tetapi sebaliknya demi martabat BN supaya parti itu tidak dianggap semakin ditolak oleh rakyat.

Dalam soal ini, BN tidak harus mengulangi kesilapan dalam memilih calon, meletakkan calon yang sudah tewas dalam pilihan raya sebelum ini atau menganggap ia kerusi tradisi mana-mana parti komponen. Adalah lebih baik jika di kedua-dua kawasan itu diletakkan calon muka baru anak tempatan yang tidak terpalit dengan sebarang rekod serta diterima di peringkat akar umbi. Soal kawasan tradisi juga pula harus diubah jika ia tidak menguntungkan parti.

Di BUKIT GANTANG, berikutan apa yang berlaku dalam arena politik Perak, pertarungan di situ mempunyai signifikannya tersendiri. Selain dilihat sebagai isyarat bahawa langkah BN kembali memerintah di negeri itu diterima oleh rakyat, ia juga ujian pertama bagi Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Sekali lagi di atas kertas, keputusan pilihan raya umum lalu membuktikan bahawa cabaran BN cukup getir. Ini kerana dalam pilihan raya itu dari tiga DUN yang ada dalam kawasan Parlimen berkenaan hanya satu dimenangi oleh BN iaitu Trong, itupun BN menang dengan majoriti tipis 916 undi, manakala di dua lagi DUN iaitu Kuala Sepetang dan Changkat Jering, BN tewas.

Apa yang tidak harus dilupakan pertandingan di Bukit Gantang agak menarik kerana di situlah terdapatnya salah satu kawasan DUN paling kontroversi iaitu Changkat Jering yang menyaksikan wakilnya, Kapten (B) Osman Jailun mengisytiharkan diri menjadi wakil bebas dan sekali gus membuka laluan kepada BN kembali memerintah.

Justeru kemenangan BN amat penting di kawasan Parlimen itu kerana ia akan dijadikan isyarat oleh pembangkang sama ada perbuatan kembali memerintah melalui tindakan tiga ADUN menjadi wakil bebas direstui oleh rakyat atau tidak.

BN mungkin boleh menafikan bahawa ia hanya satu kawasan Parlimen dan tidak boleh dijadikan ukuran sebenar tetapi mampukah parti itu menolak persepsi rakyat sedangkan dalam politik persepsi mampu mempengaruhi segala-galanya.

Medan persaingan di Bukit Selambau pula membuka ruang kepada BN untuk merampas kembali sekurang-kurangnya satu kerusi dalam Parlimen Merbok selepas satu lagi kerusi DUN iaitu Tanjong Dawai berada dalam genggaman Pas.

Sebagai seorang yang berasal dari kawasan Parlimen berkenaan, penulis amat memahami situasi di Bukit Selambau yang jelas membuktikan BN bukanlah mempunyai laluan mudah biarpun ia kawasan tradisi BN suatu ketika dulu.

Jika keputusan pilihan raya umum lalu diambil kira faktor kawasan tradisi bagi DUN Bukit Selambau sudah tidak boleh diambil kira lagi. Ini kerana BN yang ketika itu diwakili oleh MIC tewas hanya kepada calon Bebas. Kekalahan ini dengan jelas menunjukkan protes rakyat tanpa mengira apa juga alasannya. Apatah lagi penulis dimaklumkan bahawa sejak tewas di kawasan itu, BN termasuklah MIC tidak pernah mempedulikan kawasan berkenaan, BN seolah-olah bersikap 'berpatah arang berkerat rotan'.

Oleh itu apabila hendak diadakan pilihan raya kecil mana-mana parti komponen tidak boleh mendakwa ia kawasan tradisi mereka. Komposisi kaum harus diambil kira. Mengikut catatan kawasan itu mempunyai 50.20 peratus pengundi Melayu, Cina (19.25 peratus) dan India (29.53 peratus)

Kekalahan BN di kawasan itu kepada calon bebas dengan majoriti 2,362 undi menampakkan bahawa dakwaan ia milik tradisi mana-mana parti komponen boleh dipersoalkan. Jika benar parti komponen itu kuat sudah pasti BN akan meneruskan kemenangannya di situ. Apatah lagi dengan jumlah undi rosak sebanyak 1,694 undi ia sudah jelas menampakkan bahawa parti komponen yang terlibat sudah ditolak.

Kalaupun kesemua undi rosak itu menyebelahi BN, parti itu tetap akan kalah kerana calon BN memperolehi 10,863 undi manakala calon Bebas 13,225 undi.

Pilihan raya kecil di Bukit Selambau juga boleh dianggap sebagai ujian, apakah BN di Kedah yang masih berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Mahdzir Khalid sudah kembali mendapat sokongan rakyat manakala kepimpinan kerajaan negeri di bawah Pas mula ditolak kerana dikatakan tidak melakukan apa-apa perubahan.

Berdasarkan apa yang dicatatkan adalah jelas pertarungan di dua bukit ini bukanlah mudah untuk BN. Ketika ini boleh dianggap dari segi bacaan politik laluan BN untuk 'mendaki' kedua-dua bukit untuk memacak panji-panji kemenangan penuh dengan ranjau dan duri.

Pembangkang sudah pasti akan turun habis-habisan demi untuk memastikan laluan kemenangan mereka yang dicapai ketika di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu berterusan pula di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Bagi mereka kemenangan di situ akan membolehkan mereka terus angkuh untuk mendakwa bahawa gabungan pakatan yang penuh dengan kecelaruan ideologi tersebut semakin kukuh.

Oleh itu semua anggota parti komponen BN perlu bersedia dan meletakkan kepentingan BN mengatasi segala-galanya. Soal calon harus diserahkan kepada pucuk pimpinan parti menentukannya manakala mereka pula bertanggungjawab menyediakan jentera untuk memastikan kemenangan parti berkenaan.

Walaupun pertandingan hanya akan bermula pada 29 Mac, namun jentera BN harus bergerak dari sekarang kerana pembangkang sudah pasti tidak akan duduk diam. Mereka tentunya akan mengadakan pelbagai program di kedua-dua kawasan itu bagi mendapat sokongan.

Kesimpulannya, persaingan di kedua-dua kawasan itu terlalu penting untuk BN, jangan sampai kerana kecewa calon pilihan tidak terpilih ia akhirnya menyebabkan BN tewas. Jika itu terjadi apa lagi yang BN hendak katakan kerana kekalahan itu ibarat, ''ditolak dari permatang, lemas di kuala dan terdampar di antara dua bukit.''

Kini terserahlah kepada pemimpin-pemimpin BN memikirkannya apa yang pasti dalam situasi politik sekarang BN sudah tidak mampu kalah lagi dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url