Keretapi tergelincir di India
Pasukan penyelamat giat menjalankan usaha pencarian di celah-celah bangkai gerabak kereta api hari ini selepas satu insiden kereta api menyebabkan 16 terbunuh sementara hampir 200 yang lain cedera.
Coromandel Express yang menghubungkan Kolkata di timur dengan bandar Chennai, selatan India, tergelincir dari landasan malam tadi semasa menukar haluan di Jaipur, 100 kilometer dari ibu negeri Orissa, Bhubaneswar.
"Apa yang berlaku adalah tragik. Seramai 16 maut dan kira-kira 200 cedera," kata Pengurus Besar Eastern Railways, Ajay Kumar Goel kepada pemberita.
Saksi kejadian menjelaskan, sebanyak 12 gerabak terkeluar dari landasan semasa bergerak dengan kelajuan tinggi.
"Kereta api itu sudah begitu laju dan beberapa minit selepas melepasi stesen ia terbalik begitu saja," kata seorang saksi, Hemant Bhalotia yang kehilangan bapa berusia 70 tahun dalam kejadian itu.
Kemalangan berlaku sehari selepas Menteri Kereta Api Persekutuan, Lalu Yadav mendapat pujian kerana memajukan rangkaian kereta api terbesar negara yang sebelum ini hampir muflis.
Agensi berita The Press Trust of India melaporkan, Yadav telah melancarkan siasatan berhubung kemalangan itu selain pampasan kepada keluarga mangsa dan mereka yang cedera.
Semalam, beliau menyatakan rasa bangga dengan bilangan kemalangan yang berkurangan dari 325 kepada 194 semenjak memegang jawatan tersebut pada tahun 2003.
Sistem kereta api masih menjadi pilihan utama di India walaupun terdapat persaingan sengit dengan pesawat penumpang, dengan 14,000 gerabak penumpang dan kargo.
Perkhidmatan pengangkutan ini berjasa membawa 18.5 juta penumpang setiap hari di India.
- AFP