Que & Linda selamat diijabkabul


Pelakon Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar dan guru tari terkenal, Linda Jasmine selamat diijab kabul dalam satu majlis di restoran Bora Ombak, Ampang.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh jurunikah Mukim Ampang, Selangor Abu Sapian Jasin pada pukul 5.50 petang.

Dengan dua kali lafaz, Que, 29, sah menjadi suami Linda, 36, dan kedua-dua mempelai itu kelihatan berseri ketika mengayakan busana berwarna putih rekaan Sharifah Kirana.

Mahu bersederhana dalam majlis, Que memberikan sebentuk cincin, senaskhah al-Quran dan mas kahwin sebanyak RM1,101.

Sebagai balasan, Linda yang juga seorang ibu tunggal menghadiahkan suaminya itu sebentuk cincin.

Bibit-bibit pertemuan dan percintaan mereka mula terjalin tatkala Que menyertai satu kerja kebajikan yang dianjurkan oleh Linda tahun lalu.

Menerusi perkahwinan pertama sebelum ini, Linda yang mempunyai studio tari, Linda Performing Arts dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Qalif Khan, 8.

Ketika ditemui selepas majlis itu, pasangan tersebut memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana majlis pernikahan mereka berjalan dengan lancar.

“Sudah tentu saya gembira. Sebelum ini rasa gementar dan berdebar. Selepas mengucapkan lafaz nikah, hati saya lega kerana majlis ini berlangsung dengan baik sekali,’’ jelas Que.

Majlis akad nikah petang ini dihadiri ibu Que, Rahmah Hussein serta ibu bapa Linda, Datuk Murad Hashim dan Datin Kay Hashim.

Sementara itu, majlis persandingan mereka dilangsungkan di tempat yang sama malam ini manakala pada 15 Mac ini pula, majlis resepsi keluarga Que akan diadakan di Dewan Felda Taib Andak, Kulai, Johor.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url