MEF bimbang graduan sukar dapat kerja

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bimbang tercetus fenomena baru graduan universiti semakin sukar mendapat tawaran kerja selepas tamat mengikuti pengajian pascasiswazah melalui program di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua kerana tiada pengalaman bekerja.

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, berkata ini berikutan rata-rata majikan, terutama dalam sektor swasta, lebih cenderung untuk mengutamakan calon memiliki pengalaman bekerja, berbanding graduan berkelulusan tinggi tetapi hanya berpengetahuan dari segi teori.

“Apabila graduan yang menganggur melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD), dikhuatiri akan timbul keadaan yang mana mereka semakin sukar mendapat pekerjaan, kecuali dalam sektor awam yang secara falsafahnya memang lebih gemar melihat kepada aspek taraf kelulusan akademik.

“Pihak graduan sudah pasti jangkaan mereka tinggi dalam mencari kerja supaya setaraf ijazah sarjana atau PhD yang dimiliki,” katanya.

Sambil menjelaskan pihaknya tidak bertujuan membantah inisiatif murni kerajaan itu, beliau berkata, MEF berpendapat adalah lebih wajar menumpukan pemberian pendedahan latihan di tempat kerja ‘hands-on’ kepada graduan yang menganggur melalui program sangkutan di syarikat besar.

“Dengan memiliki pengalaman menjalani latihan dalam suasana pekerjaan yang sebenar akan memperluas peluang mereka mendapat tawaran kerja berbanding hanya menguasai teori semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, pula berkata walaupun usaha terbabit baik, pihaknya berpendapat kerajaan perlu menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan siswazah terlebih dulu.

“Ini kerana jika masalah pengangguran siswazah berterusan akan timbul persoalan di kalangan mereka apakah manfaat melanjutkan pelajaran jika sukar mendapat pekerjaan apabila tamat pengajian nanti.

“Lagipun menurut sebilangan pakar, keadaan krisis ekonomi sekarang dijangka tidak akan pulih dalam dua tiga tahun lagi. Sekiranya keadaan itu berlaku, sudah pasti Malaysia turut menerima kesan berkenaan,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url