Mungkin tiada lagi kad tambah nilai prabayar

Celcom (Malaysia) Bhd. menjangkakan semua penambahan nilai perkhidmatan prabayar akan dilaksanakan secara dalam talian dalam tempoh lima tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, jangkaan itu berdasarkan peningkatan trend pengguna telefon bimbit prabayar yang menambah nilai secara dalam talian.

''Dulu nilai prabayar akan ditambah melalui pembelian kad tambah nilai yang memerlukan pengguna menggoresnya tetapi kini pembelian secara dalam talian telah menunjukkan peningkatan yang ketara dan tidak mustahil dalam tempoh lima tahun akan datang ia akan menggantikan kad tambah nilai itu sendiri,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian hadiah Kempen Tambah Nilai Celcom Xpax melalui perbankan internet i-Rakyat di sini hari ini.

Kempen yang berlangsung antara September hingga November tahun lalu dijalankan dengan kerjasama Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) dan Mobility One membabitkan transaksi tambah nilai berjumlah RM115,000, tambahnya.

Menurut Shazalli, sebelum ini, lebih 60 peratus perolehan syarikat telekomunikasi itu disumbangkan melalui penjualan kad tambah nilai prabayar tetapi sejak tiga tahun kebelakangan ini proses tambah nilai secara maya (virtual) menyumbang kira-kira 35 peratus kepada perolehannya.

Bagi tahun ini, Shazalli menjangkakan kedua-dua segmen tambah nilai akan sama dengan masing-masing menyumbang kira-kira 50 peratus.

Ekoran peningkatan penggunaan Internet sebagai cara untuk menambah nilai, beliau memberitahu, fokus kini diberikan kepada segmen tersebut di samping usaha untuk mempelbagaikan perkhidmatan menggunakan telefon bimbit.

Antara usaha tersebut adalah membolehkan urusan perbankan dijalankan melalui telefon bimbit (mobile banking) termasuk urusniaga pemindahan wang dari satu akaun ke akaun yang lain.

Ujarnya, secara teknikal perkara tersebut sudah dilaksanakan melalui urusan tambah nilai telefon prabayar tetapi ia perlu diperluaskan penggunaannya memandangkan masih terdapat potensi yang belum diterokai.

Jelasnya, pihaknya kini sedang menjalankan kajian terperinci mengenai perkara tersebut, termasuk dari segi keselamatan dan mendapatkan kelulusan daripada Bank Negara Malaysia.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • mr_kay
    mr_kay Jumaat, 13 Mac 2009 pada 4:35:00 PG SGT

    yeah vote 4 celcom..
    celcom mesra alam...
    hehehe..
    puji lebih ckit celcom..
    mne taw dpt kredit free nnt..

Add Comment
comment url