Top Ad 728x90

,

Peminjam boleh tangguh bayaran PTPTN

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah menamatkan pengajian serta menerima arahan memulakan bayaran balik pinjaman boleh mengemukakan permohonan untuk menangguhkan bayaran.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu ekoran ekonomi negara yang tidak stabil.

Sehubungan itu katanya, peminjam yang mempunyai justifikasi kukuh boleh membuat permohonan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan peminjam yang masih belum bekerja atau yang menyambung semula pengajian secara sepenuh masa sahaja memohon penangguhan bayaran balik pinjaman itu.

''Permohonan daripada peminjam yang menyambung pengajian atau menjalani latihan praktikal serta mendapat bayaran elaun seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), chambering dan seumpamanya tidak akan dipertimbangkan.

''Mana-mana peminjam yang memohon penangguhan kerana belum bekerja, tempoh penangguhan yang boleh dipertimbangkan adalah maksimum sehingga dua tahun sahaja,'' katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun tempoh penangguhan tersebut katanya, boleh ditamatkan sekiranya didapati peminjam telah bekerja ataupun mempunyai pendapatan yang berpatutan.

''Sementara itu, bagi peminjam yang memohon penangguhan kerana menyambung semula pengajian secara sepenuh masa, tempoh penangguhan yang boleh dipertimbangkan adalah sepanjang tempoh pengajian baru yang diikuti.

''Peminjam yang masih belum bekerja dan berhasrat untuk mengemukakan permohonan penangguhan bayaran hendaklah kemukakan permohonan secara rasmi kepada PTPTN dan menyertakan dokumen sokongan pengesahan,'' jelasnya.

Sementara itu, bagi peminjam yang sedang menyambung pengajian secara sepenuh masa pula Mohamed Khaled menjelaskan, mereka hendaklah mengemukakan permohonan rasmi ataupun mengisi borang penangguhan untuk pertimbangan PTPTN.

''Hanya borang permohonan lengkap sahaja akan diproses untuk pertimbangan dan borang berkenaan boleh diperolehi melalui laman web PTPTN dan dihantar bersama dokumen-dokumen sokongan.

''Antaranya adalah salinan surat tawaran pengajian, salinan surat tawaran penaja baru, surat pengesahan tarikh tamat pengajian dan salinan transkrip serta sijil bagi peringkat pengajian yang telah tamat,'' jelasnya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90