Taring harimau tangkal VIP


Kepercayaan karut mengaitkan organ harimau belang termasuk kuku dan taringnya mampu menjadi azimat untuk dijadikan tangkal penunduk serta dihormati menyebabkan haiwan liar berkenaan semakin pupus akibat dibunuh pemburu haram.

Difahamkan, harga taring gigi harimau boleh mencecah sehingga RM300 sebatang manakala kukunya pula turut boleh dibeli di pasaran gelap pada harga tinggi.

Berikutan kepercayaan ini, ada ahli politik atau kenamaan sanggup membeli taring haiwan itu yang disalut dengan emas sebelum dipakai sebagai tangkal.

Sumber Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, kulit, taring dan kuku harimau menjadi bahan perdagangan haram paling menguntungkan di kalangan peniaga ubat-ubatan berikutan mitos terbabit sekali gus mengakibatkan kepupusan haiwan liar dilindungi itu.

Menurutnya, ramai pengamal perubatan tradisional atau kedai sinseh percaya serbuk tulang atau taring harimau ini mujarab menyembuhkan pelbagai penyakit selain kemaluannya yang turut dipercayai boleh meningkatkan seksual lelaki.

“Difahamkan tulang haiwan berkenaan turut menjadi tarikan pengamal perubatan yang kerap menghancurkannya hingga menjadi serbuk sebelum dicampur bersama akar atau ubat-ubatan tradisional lain.

“Faktor ini menyebabkan tulang harimau belang mendapat permintaan tinggi hingga ada yang sanggup menyeludupnya dari Indonesia bagi memenuhi permintaan tempatan,” katanya.

Menurutnya, selain spesies harimau tempatan iaitu Harimau Malaya (Panthera Tigris Jacksoni), spesies harimau Sumatera (Panthera Tigris Sumatrae) turut mengalami kepupusan berikutan aktiviti pemburuan haram dan penyeludupan berkenaan untuk tujuan mendapatkan organnya.

“Kami percaya, kebanyakan taring, gigi atau organ harimau yang ditemui dijual di negara ini berkemungkinan besar diseludup dari negara jiran berikutan kuantitinya yang besar,” katanya.

Menurutnya, perdagangan haram organ harimau Sumatera dikesan semakin berleluasa selepas maklumat mendapati ia banyak diperoleh melalui sindiket yang bergerak cergas di Jambi dan Pekan Baru, Indonesia.

“Siasatan turut mendapati, kulit harimau juga boleh dijual sebagai permaidani mahal dengan harga mencecah ratusan ribu ringgit. Namun, bagi yang tidak mampu, ada pihak yang menjual kulit harimau dalam bentuk potongan sekecil 10 sentimeter.

“Sama seperti taring atau gigi harimau, penyimpanan kulit harimau turut dipercayai dapat membuat pemiliknya menjadi berwibawa dan disegani,” katanya.

Aktiviti penjualan kuku dan taring harimau di negara ini dibongkar selepas 19 pegawai Perhilitan diketuai Timbalan Pengarah dari Ibu Pejabat Perhilitan di Kuala Lumpur, Celescoriano Razond bertindak menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap tujuh premis menjual barangan antik dan cenderamata tradisional di Pasar Seni, Khamis lalu.

Hasil serbuan mengejut itu, pegawai Perhilitan merampas lebih 20 taring dan beberapa kuku harimau yang dijual peniaga di Pasar Seni dengan harga mencecah ratusan ringgit.

Kebanyakan peniaga yang disoal siasat mendakwa taring dan kuku harimau berkenaan dijual oleh ‘orang tengah’ tidak dikenali sebelum dipasarkan kepada orang ramai yang berminat mendapatkannya.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
1 Comments
  • mr_kay
    mr_kay Jumaat, 13 Mac 2009 pada 4:26:00 PG SGT

    astagfirullah..
    jangan lah wat bnda kurafat cam ni..

Add Comment
comment url