Kepemimpinan Shahrizat ditagih bawa perubahan wanita alaf baru

Oleh JAMHARIAH JAAFAR

Dikalangan pemimpin yang mengetuai angkat sumpah barisan Kabinet baru Datuk Seri Najib Razak pada 10 April lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, antara yang paling menyerlah.

Ini bukan kerana beliau membaca ‘sumpah’ yang lain, tapi disebabkan bajunya yang merah menyala dan satu-satunya wanita diberi peluang untuk mengetuai angkat sumpah, selain ia menjadi lebih menyerlah kerana membaca sumpah dengan suara yang lantang.

Nasib wanita yang menjadi antara mangsa ‘kemarahan’ rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu apabila tewas di Parlimen Lembah Pantai, ternyata begitu baik, walaupun banyak kali diletakkan dalam suasana sukar.

“Shahrizat kena berjaga-jaga sebab hari ini dia mempunyai lebih banyak musuh, daripada kawan,” kata suaminya, Datuk Mohd Salleh Ismail.

Walaupun hanya ketawa mendengar amaran suami tersayang, Shahrizat yang kini memegang tampuk kepemimpinan Wanita Umno, sedar setiap pergerakannya akan terus menjadi perhatian dan keikhlasannya untuk menjadi teraju utama sayap yang memiliki lebih tiga juga ahli akan terus diuji.

Wanita ini yang dilihat antara pelapis paling berwibawa di kalangan pemimpin Wanita Umno hari ini untuk menggantikan Tan Sri Rafidah Aziz, membuat satu kejutan apabila memutuskan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita.

Walaupun dikritik kerana membuat keputusan pada saat akhir dan pada awalnya diramal tidak akan mencatat kemenangan mudah, dia sekali lagi mencatat kejutan apabila menerima 507 undi menewaskan Rafidah yang hanya mendapat 280 undi.

Bukan itu saja, hampir keseluruhan barisan Exco Wanita yang dipilih perwakilan kali ini adalah ‘orang Shahrizat’, hanya dua orang yang dilihat sebagai ‘orang Rafidah’ selamat.

Justeru, tidak mengejutkan apabila Najib meletakkan ‘anak mami Pulau Pinang’ ini kembali ke dalam Kabinet dan memberikan portfolio lamanya, walaupun ramai berharap Najib akan turut menimbangkan nama Rafidah untuk disenaraikan semula bagi meningkatkan penyertaan wanita pada peringkat kepemimpinan utama.

Selepas mengumumkan senarai pegawai jawatankuasa utamanya dan barisan ketua dan timbalan ketua wanita negeri, ramai tidak terkejut apabila beberapa nama popular tidak berada dalam senarai.

“Ketika pemilihan saya tidak tengok team mana. Saya tahu satu hari nanti seluruh Wanita Umno akan ada penyatuan. Saya memang tidak bimbang.

“Justeru, ketika saya membariskan jawatankuasa utama saya, terutama pada peringkat negeri, niat saya adalah untuk membentuk team terdiri daripada pemimpin wanita yang mempunyai kesungguhan untuk membantu saya dan dia mesti menghayati wawasan saya,” katanya.

Selepas berada lapan tahun ditadbir Rafidah, yang memang dikenali sebagai wanita besi kerana kebijaksanaannya sebagai seorang pemimpin wanita berwibawa, Shahrizat yang diberi mandat untuk membawa paradigma sebagai wanita alaf baru, memang bersedia menghadapi segala kritikan yang bakal diterima.

Dengan melantik Rosni Sohar, 51, sebagai Penolong Setiausaha, Noraslina Zainal Abidin, 37, sebagai Bendahari dan Hamidah Osman, 48, sebagai Ketua Penerangan, Shahrizat mengotakan janji untuk membentuk gandingan dinamik antara pemimpin lama dan baru.

“Walaupun jawatan yang ada tidak cukup semua, sebagai orang perjuangan saya akan berusaha untuk memberi tempat kepada semua.

“Matlamat saya adalah untuk membentuk penyatuan di kalangan Pergerakan Wanita yang memang menjadi tulang belakang kepada perjuangan Umno. Akan ada tempat untuk semua orang. Walaupun akan memakan masa sedikit, saya akan mula gerakkan penyusunan pada akar umbi dalam masa dua, tiga bulan lagi,” katanya.

Menjawab soalan, Shahrizat menepis tanggapan dia mengetepikan beberapa pemimpin wanita nasional terutama Datuk Maznah Mazlan, Datuk Halimah Sadique, Datuk Seripah Noli, malahan orang kuatnya sendiri, Datuk Khamsiah Yeop.

Katanya, pilihan pada peringkat nasional dan negeri adalah jelas terdiri daripada Ketua Wanita Bahagian, kerana mereka akan menjadi penggerak kepada program pada peringkat akar umbi.

“Prinsip saya dalam pemilihan Ketua Wanita negeri adalah jelas, mereka mesti Ketua Wanita Bahagian. Maznah, naib ketua bahagian, Halimah tidak mempunyai sebarang jawatan, dan Khamsiah tewas pada peringkat Exco, manakala saya memerlukan Ketua Penerangan bagi menggantikan Seripah Noli.

“Pada masa sama, sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada muka baru. Tapi saya akan mencari tempat bagi mereka yang berpengalaman untuk terus menyumbang bakti,” jelasnya.

Perubahan besar-besaran dilakukan pada peringkat kepemimpinan negeri. Pemimpin wanita popular yang sebelum ini tidak diberi tempat sewajarnya seperti Datuk Maznah Abdul Hamid (Kedah), Senator Datuk Azizah Abd Samad (Wilayah Persekutuan) serta muka baru seperti Datin Rahimah Mohamad (Kelantan), Datuk Rosni Zahari (Pahang) dan Datuk Rusnah Kassim (Perak), diharap dapat membantu Shahrizat merealisasikan impiannya untuk membentuk satu pasukan ‘impian.’

Matlamatnya ialah untuk mendesak kerajaan, sektor awam dan swasta mencapai kuota sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar yang melungsur ke belakang sejak lima tahun lalu - perundangan, polisi dan peraturan yang masih sinis dipandang masyarakat.

“Barisan kepemimpinan Wanita Umno ini perlu membantu saya untuk melebarkan tanggungjawab dan pengaruh pada akar umbi, bukan sekadar menumpu perhatian pada peringkat nasional saja,” katanya.

Tanpa perlu mengkritik kepemimpinan lama, Shahrizat pada peringkat awal ini sudah pun tahu hala tuju yang perlu diikut Pergerakan Wanita. Pengalaman perit Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu, membuatkan pergerakan ini insaf, mereka sebagai ibu dan kakak, perlu memulakan langkah ke arah penyatuan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, keseluruhannya.

Perwakilan Wanita sudah memberi isyarat cukup tegas dan lantang. Mandat mereka ialah Shahrizat dan barisan Exco yang memang terdiri daripada hampir semua muka baru, perlu melakukan tugas untuk membetulkan semula landasan Umno yang didakwa rakyat, sudah tersasar daripada matlamat penubuhannya.

Dengan memastikan Shahrizat mendapat barisan Exco yang hampir semua terdiri daripada penyokong kuatnya, Ketua Pergerakan Wanita Umno alaf baru ini, perlu membuktikan bahawa ikrar perubahan yang dibawa sehingga memberikan beliau jawatan tertinggi dalam kepimpinan wanita itu direalisasikan.

Mulai 2009 ini, Pergerakan Wanita Umno sudah boleh mengubah imejnya daripada kumpulan makcik-makcik kepada generasi anggun dan berwawasan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url