Halim Napi digantung tiga bulan, denda RM3,000


Tindakan penjaga gol kontroversi, Halim Napi, yang didakwa menyerang pemain lawan serta dianggap dalang pencetus insiden rusuhan pada 7 April lalu, ibarat dipandang mudah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tafsiran itu timbul selepas Halim - kini digantung tanpa had masa oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) - hanya digantung tiga bulan dan denda RM3,000 oleh Jawatankuasa Disiplin FAM, petang semalam.

Halim bersalah kerana meluru, menyerang dan memijak pemain Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak sebaik tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mohamad IV, 7 April lalu.

Penjaga gol itu juga dianggap menjadi punca pencetus insiden rusuhan penyokong di perkarangan stadium selepas perlawanan berkenaan.

Alasan diberikan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FAM, Kamaruddin Abdullah, ialah Halim ‘tidak mengulangi kesalahan sama’.

“Memang pada mulanya kami hendak menjatuhkan hukuman lebih berat kepada Halim, tetapi kami dapati dia tidak mengulangi kesalahan yang sama dan kerana itu kami mengubah hukuman terhadapnya.

“Kami juga perlu mengambil kira faktor Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sudah mengambil hukuman terhadap Halim dengan menggantungnya tanpa tempoh yang dihadkan,” kata Kamaruddin pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa itu.

Namun Halim pernah dikenakan penggantungan dua perlawanan dan denda RM1,000 kerana ‘mengasari pemain lawan’ pada perlawanan Kelantan menentang Selangor di Stadium Shah Alam, 28 Februari lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, pengurus Selangor, Zakaria Ab Rahim juga beruntung hanya didenda RM6,000, tanpa penggantungan, selepas mengaku salah membuat kenyataan media berhubung aktiviti FAM tanpa kebenaran pada 4 April lalu.

Ia berbeza dengan nasib ketua jurulatih Felda United, Reduan Abdullah, yang pernah digantung enam bulan oleh jawatankuasa itu atas dakwaan sama sebelumnya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url