Komentar - Raja Melayu bukan sekadar simbol
Kajian ilmiah Profesor Anthony Milner dari Australian National University tentang rumpun Melayu yang terkandung dalam buku The Malays yang diterbitkan dalam tahun 2008 memberikan fokus khusus tentang sejarah, peranan dan relevansi institusi Raja dalam konteks sistem berkerajaan di rantau ini.
Kajian tersebut merakamkan perkembangan yang sedang berlaku di era pasca Suharto di kalangan masyarakat di Landak, Mempawah, Puntianak dan Sambas (di Kalimantan Barat); Bulungan, Kutei dan Pasir (di Kalimantan Timur) dan Serdang (di Sumatera Utara); demikian juga di Pagaruyung, akan pemikiran untuk mengembalikan sistem Kesultanan.
Dicatatkan dalam kajian tersebut bahawa kerajaan-kerajaan berpaksikan Melayu itu adalah kerajaan yang mempunyai Raja, baik di Riau, Lingga, Deli, Siak, Langkat, Kampar dan Inderagiri di Sumatera, begitu juga di negeri-negeri Kutei, Bulangan, Puntianak, Landak, Mempawah dan Sambas di Kalimantan.
Kesultanan Melayu Melaka mula berakar sejak tahun 1400. Pemerintahan secara saksama dan berhemah telah membantu pertumbuhan ekonomi, perkembangan perdagangan hingga Melaka merupakan pusat pertemuan dagang senteri, diiktiraf sebagai kota kosmopolitan, mempertemukan timur dan barat, tanah bertuah yang makmur menawarkan rezeki melimpah ruah kepada semua pihak tanpa prejudis - tanpa diskriminasi, baik kepada rakyat tempatan begitu juga kepada para pedagang yang berhijrah dari serata tempat.
Di puncak kegemilangannya, 80 bahasa dipertuturkan di kota pelabuhan tersebut.
Sesungguhnya sejarah juga mencatatkan bahawa istana Raja Melayu itu berperanan sebagai pusat perkembangan tamadun bangsa. Istana memperlihatkan sehalus budaya - mencerminkan secantik bahasa, melindungi khazanah tamadun bangsa - menyimpan kekayaan budaya bangsa.
Sistem pemerintahan berteraskan Kesultanan Melayu yang telah wujud selama lebih 600 tahun, telah berjaya membangunkan satu budaya dan satu tamadun yang agung.
Kebijaksanaan pemerintahan beraja membantu berlakunya proses pengembangan intelek dan dari sumber istana itulah lahirnya karya-karya agung dalam dunia penulisan bangsa.
Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa. Rakyat yang memahami budaya rakyat beraja - negeri bersultan, memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, terutama peranan dan tanggung jawab mengekalkan identiti negara bangsa.
Hari ini dunia sedang menghadapi gelombang globalisasi - ombak globalisasi menghempas setiap sempadan - mahu memecahkan benteng budaya dan berkemungkinan menghanyutkan lembaran sejarah negara bangsa.
Warga muda yang sedang dilambung ombak globalisasi, perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi (claims of tradition) dan permintaan terhadap pemodenan (demands of modernity) supaya air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit.
Ada yang menganggap bahawa untuk maju, penekanan hendaklah ditumpukan kepada budaya yang progresif lalu menyifatkan tradisi dan sejarah akan meletakkan bangsa tertinggal dalam budaya yang statik. Globalisasi sebenarnya turut membawa gelombang kolonialisme baru untuk menghayutkan tradisi sesebuah negara bangsa - lalu menghapuskan identiti asal negara bangsa.
Warga perlu disedarkan, bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijak dan ditakrifkan secara arif dapat berfungsi sebagai pemudah cara memajukan negara bangsa.
Bahawa elemen-elemen budaya bangsa yang merupakan faktor penyatuan bangsa selama hari ini, adalah modal sosial yang amat berharga yang wajib dipertahankan.
Kelangsungan sesuatu bangsa dan wajah sesebuah negara bergantung pada faktor-faktor yang telah memberikannya identiti dari segi institusi, agama, budaya dan bahasa. Tindakan-tindakan menghina institusi, mempersendakan institusi, menanam kebencian terhadap institusi adalah langkah awal dalam gerakan ke arah menghapuskan institusi - lalu menghapus identiti asal negara bangsa.
Di era peperangan dingin, langkah-langkah sedemikian lahir daripada kumpulan yang berpegang kepada doktrin politik berfahaman kiri dan dikategorikan berunsur subversif. Atas nama Revolusi Budaya, di Cina dan indoktrinasi komunisme di Kampuchea dan Vietnam, anak-anak dihasut hingga sampai ke peringkat ekstrem, membenci dan memusuhi ibu bapa kandung sendiri; pemimpin-pemimpin agama dicerca dan rumah-rumah ibadat dimusnahkan, ada rumah ibadat yang dijadikan tempat ternakan haiwan; lalu berlakulah keadaan anarki yang terpaksa dibayar dengan nyawa dan darah di samping modal sosial negara bangsa habis termusnah.
Bahawa tidak ada tamadun agung yang dapat dibina tanpa menghargai, mengiktiraf dan meneruskan kesinambungan tamadun dan sejarah masa lalu - merangkaikan antara satu generasi dengan generasi yang lain, mengkhazanahkan himpunan adab dan budaya bangsa untuk dijadikan memori sosial lalu dijadikan teras utama dalam membina dan memberi wajah kepada negara bangsa.
Dengan petunjuk dan panduan dari Ilahi juga, anakanda akan mengambil tanggung jawab utama di atas bahu anakanda untuk melaksanakan segala usaha bagi memastikan tradisi yang menjadi teras kepada sistem berkerajaan dan bernegara di bumi warisan pusaka bangsa ini akan terus dipertahankan.
Bahawa kemuliaan dan kedaulatan seorang Raja Pemerintah itu tidak akan anakanda reda untuk dipersendakan. Untuk itu warga perlu diinsafkan supaya jangan terlalu cepat membuang pelita, kerana riang melihatkan fajar akan menyinsing; kerana hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila malam mendakap senja, warga dan bangsa akan hidup teraba-raba - hilang haluan, kerana diselimuti kegelapan malam tanpa pelita.
Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Paduka Seri Ayahanda kali ke 81, Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar, penuh taat - penuh setia, menjunjung titah - menjunjung perintah Paduka Seri Ayahanda yang bersandarkan hukum - berlandaskan adat.
Anakanda bersama Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, semua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, bertekad memelihara kemuliaan pemerintahan Paduka Seri Ayahanda dengan azam, terus memperkukuhkan tradisi negeri bersultan - rakyat beraja; tradisi yang telah diwarisi turun temurun, agar terus subur dan segar, kekal sepanjang zaman, merentas peredaran waktu - merentas peralihan masa.
Ya-Ghaffar, Ya-Latif, Ya-Qayyum, Ya-Wahid, Hamba Mu sekali lagi memanjatkan doa, agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun berada dalam kerukunan, dikurniakan keafiatan, dianugerahkan taufik - dilimpahkan hidayah. Semoga di bawah naungan pemerintahan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, rakyat berbilang kaum - berbilang agama, kukuh bersatu - cekal berpadu, hidup harmonis - saling menghormati.
Semoga negeri Perak Darul Ridzuan mencapai kesejahteraan dan kemakmuran serta dilindungi dari mala petaka dan sebarang bencana. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa mendapat lindungan Ilahi, bersemayam di atas takhta singgahsana dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.
- UTUSAN