ADUN Sungkai, R. Ganesan calon Speaker DUN Perak


Barisan Nasional (BN) telah menamakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, Datuk R. Ganesan daripada MIC sebagai calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baru, kata Speaker V. Sivakumar.

Dalam tulisan di blognya: speakforperak.blogspot.com, Sivakumar berkata usul itu telah diserahkan ke Pejabat Setiausaha DUN Perak di sini pada pagi semalam.

Menurutnya usul bertarikh 29 April lepas itu dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan disokong seorang Exco Datuk Hamidah Osman.

"Surat persetujuan daripada Datuk R. Ganesan untuk dipilih sebagai Speaker Perak juga disertakan bersama-sama usul ini," katanya.

Sivakumar pada satu sidang akhbar di sini semalam ketika ditanya mengenai usul pelucutan jawatannya, katanya beliau mengakui memang ada usul yang diterima berkaitan perkara itu tetapi menegaskan pihaknya belum membuat apaapa keputusan lagi.

Zambry pada minggu lepas telah mengemukakan usul kepada pejabat Setiausaha DUN Perak untuk melucutkan jawatan Speaker V. Sivakumar seterusnya melantik speaker baru pada persidangan DUN dijadual pada 7 Mei ini.

Usul itu yang disokong Hamidah menerusi surat bertarikh 22 April lepas diterima Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri pada 23 April dan diberi notis untuk dibawa pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, DUN Perak ke12 pada tarikh yang ditetapkan itu.

Abdullah dalam suratnya kepada semua 59 ADUN Perak bertarikh 27 April lepas berkata, sekiranya usul itu diluluskan dalam mesyuarat berkenaan, urusan mesyuarat berikutnya ialah pemilihan Speaker baru.

Berikutan itu, beliau meminta semua ADUN mengemukakan cadangan bagi memilih Speaker baru menggunakan borang pencalonan yang dikepilkan bersama dengan surat berkenaan.

Bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang akhbarnya semalam ketika ditanya mengenai usul untuk melucutkan jawatan Sivakumar, berkata semua ADUN berhak mengemukakan apa saja usul dan terpulang kepada Speaker untuk tindakan seterusnya.

Bekas Exco Kanan Perak yang juga Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham sebelum ini dilaporkan berkata ADUN pakatan PAS-DAP-PKR tidak akan memberi maklumbalas terhadap usul tersebut kerana mendakwa notis yang dihantar Abdullah itu tidak sah disebabkan Setiausaha DUN Perak telah digantung tugas oleh Speaker pada bulan lepas.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url