Hari Pekerja 1 Mei - Memperjuang hak pekerja

Sambutan Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap setahun. Sejauh manakah sambutan tersebut signifikan kepada mereka yang bergelar pekerja?

Hari ini adalah hari untuk mereka yang bergelar pekerja. Sama ada anda seorang guru, operator pengeluaran, pengarah, kontraktor binaan, kerani seorang tukang cuci atau apa saja pekerjaan yang anda lakukan, anda adalah pekerja.

Namun, lumrah setiap kali menjelangnya sambutan Hari Pekerja pelbagai isu-isu berkaitan golongan ini akan disuarakan. Semuanya untuk membela nasib golongan ini.

Pekerja diberhentikan kerana masalah ekonomi, gangguan seksual, gaji rendah, permohonan cuti tahunan dibekukan dan gagal menerima elaun kerja lebih masa, antara isu yang seringkali mendapat pendedahan.

Hari ini dengan kesedaran yang semakin tinggi, pendedahan media yang semakin luas, keberanian badan bukan kerajaan (NGO) dan ketegasan pihak kerajaan menyaksikan nasib pekerja di negara semakin terbela. Pelbagai dasar, akta dan undang-undang yang digubal sedikit sebanyak mendorong satu transformasi.

Pekerja mula memiliki hak keistimewaan tersendiri dan mampu menikmati kesenangan menerusi kuasa yang diterima.

Menyentuh mengenai keistimewaan yang diperoleh oleh para pekerja, masih ramai lagi yang belum mengetahui sejauh manakah pekerja-pekerja di Malaysia mendapat hak pembelaannya?

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan yang dihubungi Kosmo! berkata, ramai pekerja hari ini yang masih terikat dalam bentuk kerjaya konvensional dengan bekerja secara formal di sektor swasta dan kerajaan.

"Dari segi peruntukan memang terjamin, manakala dari segi keselamatan sosial pula membolehkan dua langkah diperkenalkan oleh pihak kerajaan dalam membantu para pekerja.

"Pertama, isu mengenai jaminan masa tua iaitu menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). KWSP adalah satu bentuk penyediaan jaminan kewangan selepas persaraan khususnya bagi pekerja swasta dan kerajaan yang memilih skim caruman tersebut.

"Majikan mencarumkan sebanyak 12 peratus daripada gaji pekerja, manakala pekerja pula mencarumkan sebanyak lapan peratus daripada gaji bulanan mereka.

"Setiap bulan, mereka akan mencarumkan sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan sehingga mereka mencapai usia 55 tahun," katanya. Caruman yang dilakukan pada setiap bulan oleh majikan dan pekerja adalah menjadi hak pekerja dan boleh dikeluarkan apabila berusia 55 tahun.

Ketegasan kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang menyaksikan banyak majikan yang akur dengan mencarum dalam KWSP.

Kaedah kedua katanya, jaminan terhadap kemalangan para pekerja. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) ditubuhkan bagi menjaga keselamatan para pekerja.

Selain itu, sekiranya majikan memberhentikan pekerjanya tanpa sebab yang munasabah, seorang pekerja itu boleh mempertikaikan tindakan majikan berkenaan melalui Seksyen 20, Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

"Melalui akta ini, mereka juga boleh menuntut kepada majikan agar mengambil semula mereka bekerja.

"Terdapat banyak kes yang membabitkan pemecatan dan pertikaian perusahaan yang lain telah dibawa ke Mahkamah Perusahaan," katanya. Mahkamah Perusahaan ditubuhkan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Yang pasti, pelaksanaan pelbagai organisasi, dasar dan peraturan ini mengangkat nasib pekerja di negara ini jauh lebih baik daripada pekerja di kebanyakan negara jiran bahkan di kalangan negara-negara membangun.

Tidak dapat dinafikan, masalah ekonomi hari ini telah memaksa banyak pihak mewujudkan skim latihan semula kepada para pekerja yang diberhentikan.

"Skim ini bertujuan agar mereka dapat kemahiran baru dan terus diserapkan ke sektor pekerjaan baru," ujarnya.

Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi Bajet Mini yang dibentangkan pada 10 Mac lalu bertujuan untuk bidang kemahiran para pekerja dan bagi menangani isu pemberhentian kerja.

Bagaimanapun bagi Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, dari segi hak dan pembelaan ke atas para pekerja di Malaysia, hakikatnya masih banyak yang tidak berubah.

"Ini kerana, pekerja di Malaysia mudah dipecat dan ditamatkan perkhidmatan.

"Ramai pekerja tempatan hilang pekerjaan atau diberhentikan oleh majikan. Walaupun majikan mempunyai kuasa pemberhentian kerja dan pembayaran gaji, namun isu ini masih belum dapat diselesaikan.

"Malah, ada sebahagian pekerja tidak tahu hendak menyelesaikan masalah yang dihadapi atau tidak pernah terdedah dengan akta yang digubal oleh pihak berwajib," ujarnya serius.

Selain itu katanya, sebab lain kenapa pekerja tempatan kurang mendapat hak dan pembelaannya adalah disebabkan jumlah pekerja yang menganggotai kesatuan pekerja yang sedikit.

"Apa yang lebih menyedihkan, ada pekerja yang suka mengambil kesempatan dengan apa yang ada. Sikap acuh tak acuh pekerja itu sendiri, dengan alasan walaupun tidak menganggotai kesatuan, mereka tetap menikmati manfaat sama seperti ahli kesatuan menyebabkan kesatuan semakin lemah," ujarnya sambil memberitahu, kesatuan telah wujud di Malaysia lebih 100 tahun, tetapi banyak hal yang diperjuangkan masih belum dapat dicapai.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Bulan Heedaya
    Bulan Heedaya Jumaat, 1 Mei 2009 pada 5:07:00 PTG SGT

    selamat hari pekerja...(^^)

Add Comment
comment url