Bantal Beanipet - Penuh karakter dan emosi


Menjahit bantal bermotif haiwan bagi Yue Jun Mei satu kegembiraan buatnya. Namun, setiap yang dihasilkannya itu tiada pendua.

Sejak beberapa bulan lalu, dapur kering ibunya itu sudah bertukar fungsi. Di situ, si gadis menghabiskan masa berjam-jam memerah otak, mendapatkan ilham.

Di atas helaian sebuah buku, dia tekun melakar dan terus melakar. Semuanya dilakukan untuk memperoleh rekaan terbaik bagi memenuhi ekspetasi pelanggan. Lakaran itu kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk dua atau tiga dimensi mengikut kesesuaian.

Inilah rutin harian Yue Jun Mei yang gemar menghasilkan bantal-bantal buatan tangan bermotifkan haiwan. Menjenamakan bantal tersebut sebagai Beanipet, hobi uniknya itu berputik daripada satu alasan ringkas.

"Sebab saya suka peluk bantal. Soalnya, adakah orang yang tak suka?" jawabnya dalam nada teruja.

Saat menerima kunjungan Kosmo! di kediamannya di Damansara Jaya, Petaling Jaya pada Ahad itu, tanpa berlengah, Jun Mei terus mempelawa penulis ke 'studio' mininya.

Di sudut dapur itu, terkumpul satu 'keluarga' haiwan.

Ada monyet, beluncas bulat, arnab, ular, harimau, tikus dan sotong kurita. Hadir dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna, mereka terlalu comel untuk tidak dipedulikan.

Sambil mengangkat sebiji bantal empat segi, dia memperkenalkan si biri-biri sebagai Rainbow Sheepy. Kemudian dicapainya pula si kembar tikus, Mi dan Mo serta sotong kurita bulat, Baby Fifi.

Istimewanya, kesemua bantal haiwan itu tidak hanya berbeza dari segi warna, bentuk dan juga nama. Setiap satunya, jelas Jun Mei, ada karakter dan emosi yang tersendiri.

"Misalnya Mojo, si monyet nakal ini. Nampak tak tangannya yang panjang dan dwi-warna ini? Saya sengaja pilih warna ini untuk tonjolkan karakternya yang sombong dan bertenaga sepanjang masa.

"Tengok ni, cuba awak bermain dengan tangannya mengikut kreativiti awak. Contohnya masukkan tangannya ke dalam mulut zip ini, kan comel?" ujar gadis berusia 24 tahun ini sambil menunjukkan caranya.

Begitu teruja bercerita tentang kelincahan Mojo, riak wajah Jun Mei tiba-tiba berubah saat sama ada Mojo miliknya. Dalam nada kecewa, dia memberitahu: "Asalnya bukan. Pemiliknya gagal dihubungi pada saat-saat akhir. Tetapi tak apa. Sekarang rasa sayang pula nak jual Mojo. Mungkin saya akan simpan je Mojo."

Meneliti kualiti jahitan dan kerja tangan Jun Mei yang begitu kemas, mungkin anda terkejut bahawa dia sebenarnya tidak tahu menjahit.

Pengetahuan jahitan asas yang ada hanya diperoleh daripada subjek Kemahiran Hidup di sekolah dulu. Selebihnya, kepakaran menjahit gadis langsing ini diperkasakan menerusi trial and error.

Dengan semangat yang berkobar-kobar untuk mencuba hobi barunya ini, Jun Mei membeli mesin jahit pertamanya pada Oktober tahun lalu.

"Masa itu, saya cuma beli mesin jahit paling murah, harga RM600 sahaja. Sebabnya belum tentu hobi ini jadi. Lagipun, kalau beli mesin yang terlalu mahal pun tak praktikal juga," ujarnya memberi pertimbangan rasional.

Berbekalkan pengetahuan menjahit yang tidak seberapa itu lahirlah bantal sulungnya, seekor beruang bergelar Bear Bear.

Namun, sebagai graduan diploma Ilustrasi, bakat seni sememangnya mengalir dalam darahnya. Daya kreativiti Jun Mei begitu terserlah baik dalam karya lukisan dua dimensi (2D) mahupun himpunan bantal buatan tangannya.

Mengetengahkan motif haiwan dalam setiap rekaannya, pensyarah seni sepenuh masa di The One Academy ini sebenarnya menggemari karya berunsurkan alam sekitar.

"Bila saya jahit bantal-bantal haiwan ini, saya rasa sangat gembira. Haiwan bagi saya, sangat comel dan mudah disayangi. Jadi, terdetik di hati, alangkah seronoknya jika ideologi ini boleh diterjemahkan dalam bentuk bantal.

"Bantal tak semestinya berbentuk segi empat. Kalau dipelbagaikan saiz dan bentuknya boleh menjadi plush toy. Apa yang penting ialah ia selesa dipeluk," katanya tanpa berselindung.

Uniknya, setiap rekaan bantal Jun Mei didatangkan dengan sebuah poket besar. Poket yang boleh menampung telefon bimbit atau gajet lain membuatkan produk ini praktikal diseludupkan ke panggung wayang.

Tempoh penghasilan sesebuah bantal banyak bergantung kepada kerumitan rekaannya. Ada yang boleh disiapkan dalam masa sehari dua manakala selebihnya memakan masa seminggu.

Proses paling sukar dalam penghasilan bantalnya adalah untuk mendapatkan ukuran tepat dan menggunting kain. Sehingga kini, Jun Mei akui adakalanya masih tersilap mengguntingkan kain.

Kini, kemahiran menjahit Jun Mei bagaimanapun bertambah baik. Daripada sekadar membuat bantal untuk kepuasan diri, dia kini mempunyai peminat karyanya sendiri. Buktinya, setakat hari ini, kira-kira 35 biji bantal berjaya dipasarkan menerusi blognya, http://beanipet.blogspot.com.

Malah, usah terkejut jika tempahan anda tidak dilayan sehingga bulan Ogos ini. Sebabnya, dia perlu menyiapkan pesanan sedia ada. Lagipun untuk sesi gambar eksklusif bersama Kosmo!, Jun Mei terpaksa meminjam semula 18 biji bantal daripada pelanggannya.

Tambahnya, setiap rekaan bantalnya tidak akan diulang. Ini bermakna apa yang dimiliki pelanggan, tiada salinan kedua di dunia. Memperoleh ilham daripada kehidupan harian, bantal-bantal haiwan itu direka mengikut permintaan pelanggan masing-masing.

"Tetapi, jika pelanggan datang dengan contoh rekaan atau sampel ciptaan orang lain, saya akan saran mereka beli sahaja bantal itu di tempat lain. Saya tidak mahu mencetak rompak hak cipta orang. Itu prinsip saya sejak memulakan hobi ini.

"Kalau pelanggan tidak ada idea, saya boleh fikirkan. Saya akan banyak buat rujukan, membaca dan sentiasa peka dengan ilham sekeliling," jelas anak sulung daripada tiga beradik ini.

Dalam himpunan tempahan yang perlu disiapkan menjelang Ogos ini, Jun Mei menerima pelbagai permintaan untuk motif haiwan berbeza. Lebah, singa, ladybird, tupai terbang dan pasangan kembar anjing adalah contohnya.

Biarpun kerap menerima tempahan bermotifkan arnab dan ular, dia mengakui permintaan pelanggan kini semakin kreatif.

"Ada pelanggan yang nak bantal sotong, zirafah dan pokemon. Setakat ini, saya rasa pasangan hedgehog, Leaf dan Petal itu paling unik. Pemiliknya ialah pasangan kekasih dari kolej.

"Ada juga permintaan untuk buat motif naga. Tetapi, saya tak janji lagi. Tengah pening kepala nak fikirkan rekaannya," katanya sambil memberitahu tempahan terbesarnya datang daripada seorang pelajar 15 tahun.

Menurutnya pelanggan tetapnya itu telah memesan sejumlah 20 biji bantal beraneka motif. Namun, disebabkan faktor bajet, dia hanya meminta Jun Mei menyiapkan sedikit demi sedikit.

Memiliki pelanggan sejauh dari Sabah, harga bantalnya bermula dari RM75 hingga RM160 setiap satu bergantung kepada komplikasi rekaan.

Hari ini, Jun Mei tidak lagi menggunakan kawasan dapur ibunya sebagai studio. Dia sudah beralih ke sebuah bilik yang luas untuk terus bereksperimen dengan lebih banyak idea baru.

Belum bercadang meluaskan perniagaan berlandaskan hobinya ini, dia bagaimanapun bersyukur produknya disukai ramai.

"Setakat ini, saya rasa gembira dengan hobi ini. Rasanya jika pelanggan tak suka dengan hasil kerja saya, mungkin sukar untuk saya teruskan hobi ini," katanya.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url