BN letak calon tanding di DUN Manek Urai

Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, di Kelantan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, keputusan itu dibuat atas dasar prinsip kerana kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob daripada parti Pas, pagi semalam.

“Ini soal prinsip... jika kerusi kosong sebab Perlembagaan seperti kerana seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meninggal, kita akan mematuhi kehendak untuk meletakkan calon.

“Tapi jika kerusi kosong kerana mainan politik, kita tidak akan letak calon," katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke Singapura, di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN akan meletakkan calonnya bertanding kerusi DUN Manek Urai dan tidak akan sesekali akan memberi laluan mudah kepada Pas.

“Kita akan bertanding di kawasan itu apabila diumumkan kekosongan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kalau di DUN Penanti, kita tidak bertanding kerana disebabkan apa yang kita sebutkan sebelum ini, yang ini disebabkan kematian dan kekosongan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikiankepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan yang berlangsung selama tiga jam di ibu negara.

Muhyiddin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ismail.

Mengulas desakan Pas supaya Umno tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu, Muhyiddin berkata, Umno tidak akan memberi laluan mudah kepada parti itu kerana dalam pilihan raya umum lalu, Umno hanya kalah kira-kira 1,000 undi saja.

“Kita yakin ini peluang untuk pengundi Manek Urai untuk melihat kembali apa yang sudah kita lakukan sebelum ini. Pas pula jangan terlalu yakin bahawa ini kawasan mereka dan akan sentiasa menang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga anggota delegasi Malaysia dalam lawatan Najib ke Singapura berkata, Umno negeri akan bermesyuarat malam ini di Kota Bharu untuk membincangkan perkara itu dan mendapatkan pandangan mengenainya.

“Tetapi sudah jelas bahawa secara prinsipnya, kita akan letak calon dan mesyuarat esok (malam ini) akan membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil itu,” katanya.

Mustapa berkata, peluang pada pilihan raya kecil itu terbuka dan ia boleh berpihak kepada mana-mana parti.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, beliau berkata, pilihan raya kecil itu satu ruang untuk membuktikan Umno masih relevan di Malaysia dan Kelantan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url