'Kelahiran baru' Shah Indrawan (Tomok)


Tidak dinafikan, Tomok menjuarai pertandingan nyanyian One In A Million musim ketiga (OIAM3) kerana undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi yang diterimanya daripada para penonton.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan Tomok itu ialah populariti dan pengalamannya menyanyi bersama kumpulan New Boyz selama sedekad.

Berbeza dengan dua lagi finalis OIAM3 iaitu Esther dan Aweera yang masih mentah dalam bidang nyanyian, apatah lagi keduanya baru pertama kali menyetai pertandingan besar seperti itu.

Bagaimanapun, kelebihan Tomok bukan setakat itu sahaja, sebaliknya, penyanyi berusia 24 tahun itu turut membuktikan bakatnya dalam bidang nyanyian lebih menyerlah selepas menyertai OIAM3.

Menurut Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, pertandingan anjuran stesen 8TV itu banyak membantu dalam mengembangkan lagi bakatnya dalam bidang nyanyian.

"Tomok sudah 10 tahun berada dalam industri muzik. Sokongan daripada pihak media massa banyak membantu kejayaan Tomok. Banyak yang Tomok pelajari semasa menyertai OIAM3 seperti soal mengadakan persembahan, penjagaan imej dan cara nyanyian.

"Bagi Tomok, 8TV sudah 'ubah' Tomok menjadi Tomok yang baru dan lebih berjaya dalam bidang nyanyian," katanya pada sidang media selepas diumumkan juara OIAM3 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, malam Jumaat lalu.

Dengan kemenangan itu, Tomok yang berasal dari Kuala Lumpur meraih hadiah keseluruhan bernilai RM1 juta selain menerima kontrak sebagai artis di bawah naungan syarikat rakaman Monkey Bone Records.

Terbukti OIAM3 menjadi medan terbaik buat Tomok membuktikan kepelbagaiannya dalam bidang nyanyian di mana ia tidak terikat kepada konsep lagu pop rock yang sering dibawakannya bersama New Boyz sebelum ini.

Penyanyi tinggi lampai ini misalnya, sering memperlihatkan gaya nyanyiannya dengan membawakan lagu-lagu yang berlainan rentak seperti pop, rock dan sentimental pada setiap konsert mingguan OIAM3.

Sebagai contohnya, sebelum ini Tomok pernah membawakan lagu-lagu sentimental Alleycats secara medley tetapi dengan gaya serta persembahannya yang tersendiri.

Malah, pengkritik tetap OIAM3, Syafinaz Selamat sering memuji gaya vokal Tomok yang bukan sahaja mantap tetapi dia juga mampu mengawal pentas dengan aksinya yang tersendiri.

"Saya lihat persembahan Tomok paling memberangsangkan setakat ini. Saya terperanjat kerana tadi Tomok hampir tersingkir, tetapi ramai yang vote (undi) Tomok," komen Syafinaz selepas Tomok mengadakan persembahan pada malam itu.

Undian terendah

Ketika awal konsert terakhir OIAM3 itu, Tomok menerima undian SMS terendah iaitu sebanyak 30 peratus, berbanding Esther (37 peratus) dan Aweera (32 peratus).

Nasib menyebelahi Tomok apabila daripada undian SMS yang dihantar oleh para penonton ke laman sesawang OIAM lebih 90 peratus mahukan dia bersama Esther dan Aweera bersaing pada peringkat akhir pertandingan tersebut.

Namun, kemasukan semula Tomok pada final OIAM3 seakan-akan sudah dijangka berdasarkan lagu-lagu yang telah disediakan oleh pihak penganjur.

Ini kerana, setiap peserta disediakan sebuah lagu baru khusus untuk dipersembahkan pada malam itu.

Jika Tomok tidak diserapkan untuk bertanding pada peringkat akhir, maka sia-sialah lagu ciptaan Aubrey Suwito berjudul Rindu Terhenti yang dicipta khusus untuknya.

Pada masa sama, aura dan sokongan para penonton terhadap Tomok juga dapat dilihat sejak minggu-minggu sebelumnya lagi apabila ramai yang terus memberi sokongan kepadanya.

Jangkaan para penonton semakin kuat apabila undian SMS yang ditutup pada pukul 10.20 malam itu melonjakkan nama Tomok dengan memperolehi undian tertinggi berjumlah 39 peratus mengenepikan Esther (33 peratus) dan Aweera (27 peratus).

Biarpun hampir tersingkir daripada final OIAM3, tetapi itu tidak mematahkan semangat Tomok untuk bangkit membuktikan bakat serta persembahannya yang mantap.

"Tomok terima kalau tersingkir awal pada malam ini. Tetapi Tomok bersyukur kerana diberi peluang kedua. Tomok berusaha untuk mencapai tahap yang terbaik," ujar Tomok.

Tidak dinafikan juga, selain menjulang namanya lebih tinggi dalam persada seni suara tanah air, OIAM juga seakan-akan mencipta suatu transformasi buat Tomok.

Sebabnya, sepanjang menyanyi bersama New Boyz sejak 1999, penyanyi yang menggemari masakan nasi ayam ini tidak banyak diberi peluang mengembangkan bakat nyanyiannya secara lebih meluas.

Justeru, beliau menjadikan OIAM3 sebagai suatu platform bagi membuktikan bahawa Tomok yang muncul dalam program TV realiti itu bukannya Tomok yang peminat kenali 10 tahun lalu.

"Dalam OIAM Tomok diberi peluang untuk memilih lagu-lagu yang sesuai dan Tomok suka. Sebab itu, ini adalah masa yang sesuai untuk Tomok memanjangkan karier Tomok. Dulu peluang itu agak terbatas.

"Tomok mula menyanyi semasa berumur 15 tahun, jadi ramai orang ingat ini adalah Tomok yang lama. Tetapi Tomok berasa yakin dan seronok apabila setiap minggu para penonton suka dengan persembahan Tomok yang berbeza-beza," jelasnya.

Rancangan RM1 juta

Hadiah keseluruhan berjumlah RM1 juta termasuklah imbuhan dalam bentuk wang tunai dan kontrak syarikat rakaman merupakan yang terbesar pernah disajikan buat para peserta pertandingan nyanyian di negara ini.

Sama seperti pemenang lain, Tomok yang mula menyertai pertandingan nyanyian pada usia lapan tahun turut mempunyai perancangannya yang tersendiri.

Kata penyanyi yang telah merakamkan enam album bersama New Boyz ini, dia akan menggunakan wang hasil kemenangannya itu bagi merakamkan album solonya di bawah Monkey Bone Records dalam waktu terdekat ini.

"Merakamkan album solo merupakan salah satu idaman Tomok. Kalau boleh selepas ini Tomok mahu bekerja dengan komposer yang hebat seperti Aubrey. Tomok mahu ubah cara nyanyian dan tingkatkan lagi kualiti.

"Daripada situ ia mungkin akan membuka peluang dan pasaran lebih luas hingga ke luar negara. Kalau boleh, Tomok juga mahu membuka studio latihan dan rakaman sendiri. Perancangan lebih kepada karier dalam bidang nyanyian," katanya yang merancang mengadakan kenduri doa selamat atas kemenangannya itu.

Perancangan Tomok itu cukup bersesuaian kerana selain menyanyi, dia yang gemar bermain futsal juga mempunyai kecenderungan mencipta lagu dan lirik sendiri pada masa depan.

Aubrey yang banyak membantunya sewaktu dalam pertandingan yang menampilkan Paul Moss dan Syafinaz Selamat sebagai pengkritik tetap itu juga seolah-olah menjadi ikon terbaik buat Tomok bagi mencapai impiannya itu.

"Kalau boleh Tomok mahu jadi macam Aubrey dan Tomok juga mahu bekerjasama dengan dia. Tomok harap dia boleh tolong. Tomok mahu buktikan bakat Tomok bukan setakat menyanyi tetapi juga mencipta lagu," pintanya.

Sepanjang Tomok bersama New Boyz sejak 1999, dia telah merakamkan enam album berjudul New Boyz (1999), Akur (2000), Wirama (2001), Inspirasi (2003), Bermulanya Satu Evolusi (2005) dan Semula Padaku (2007).

Konsert minggu terakhir OIAM3 berlangsung penuh meriah apabila para penyokong Tomok, Esther dan Aweera memenuhi ruang Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor dengan kehadiran 10,000 penonton.

Setiap peserta diberi peluang menyampaikan dua buah lagu termasuklah sebuah lagu baru dan juga berkonsepkan medley dalam dua persembahan berasingan pada konsert yang diacarakan oleh Awal Ashaari dan Marion Caunter itu.

Tomok misalnya, menyanyikan lagu Hanya Kau Yang Mampu (Aizat) dan Rindu Terhenti, Esther menyanyikan lagu Please Don't Stop The Music (Rihanna) dan Menggapai Mimpi, manakala Aweera (Sampai Syurga, My Baby You, Hukum Karma serta Kini Ku Di Sini).

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url