Inisiatif tambah populasi di Korea
Gurau senda perunding jodoh profesional memecahkan kebuntuan apabila 40 individu berusia antara 20 hingga 30 tahun ke atas berkumpul di sebuah hotel untuk mengadakan pertemuan rambang dengan orang yang tidak dikenali atau disebut blind date.
Perhimpunan tersebut adalah sesuatu yang biasa di Korea Selatan tetapi terdapat sesuatu yang luar biasa mengenai acara di Asan itu.
Terletak 90 kilometer ke selatan Seoul, dalam acara itu seseorang memainkan peranan sebagai perunding jodoh untuk menggalakkan perkahwinan.
"Perunding jodoh bukan lagi perniagaan persendirian, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab pada negara," kata Yu Yang-Sun, pegawai perbandaran yang menganjurkan majlis tersebut baru-baru ini.
"Bayi yang baru dilahirkan semakin sukar ketika ini. Jika anak-anak muda yang semakin dewasa tidak berkahwin sekali gus tidak melahirkan anak, negara ini tidak akan lagi mempunyai asas sumber kemanusiaan untuk dikekalkan."
Kadar kelahiran di Asan ialah 1.08 peratus. Jumlah itu lebih rendah berbanding kadar purata di seluruh negara, menurut Ko Bun-Ja, salah seorang timbalan Yang-Sun yang membantunya menganjurkan acara berkenaan.
"Baiklah, kepada semua hadirin, lahirkanlah anak dan jadilah negarawan seperti saya," ujar Noh Gyeong-Seon yang mengandung tujuh bulan kepada kumpulan individu yang hadir sambil dengan bangganya menunjukkan perutnya yang semakin membulat.
Sesetengahnya menyambut ucapan itu dengan perasaan malu dan merah muka, sementara sebahagian yang lain ketawa mengekek.
Lima jam kemudian, 12 daripada 40 orang yang hadir mengambil keputusan untuk meneruskan pertemuan dan ia satu khabar gembira buat pegawai perbandaran.
Selepas bertahun-tahun mempromosikan perancangan keluarga dalam negara yang mempunyai 48.6 juta populasi penduduk itu, Korea Selatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dihimpit kebimbangan terhadap prospek masyarakat berusia.
Ini termasuklah bayaran pencen yang besar sedangkan terlalu sedikit jumlah tenaga kerja muda untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.
Kerajaan berusaha meningkatkan jumlah pusat penjagaan kanak-kanak dan menyediakan lebih banyak bantuan kewangan seperti mengurangkan cukai atau memberi subsidi tempat duduk bayi bagi pasangan yang baru memulakan keluarga.
Tidak terkecuali, pemberian hadiah berupa wang tunai untuk bayi yang baru lahir bagi menggalakkan orang ramai berkahwin dan melahirkan anak.
Namun, kadar kelahiran masih di paras paling rendah dengan 1.19 peratus tahun lalu.
Disebabkan itu, kebimbangan mengenai populasi penduduk yang akan menyusut dalam tempoh sedekad semakin dirasai.
"Ini merupakan satu situasi kecemasan," jelas Jeon Jae-Hee, Menteri Kesihatan, Kebajikan dan Hubungan Keluarga kepada akhbar Chosun Ilbo baru-baru ini.
"Jika kadar kelahiran bayi yang rendah semakin berterusan, negara ini mungkin tidak akan wujud lagi untuk tempoh jangka masa panjang dengan kesemua sistem insurans di empat negeri akan pincang."
Masyarakat juga mungkin terpaksa bergantung pada buruh imigran dari luar negara untuk melahirkan generasi baru di Korea.
Bagaimanapun, krisis ekonomi global yang masih melanda turut menyumbang kepada faktor kesukaran menggalakkan orang ramai memiliki keluarga.
Jumlah perkahwinan menjunam sehingga 4.6 peratus dengan jumlah kelahiran yang dicatatkan merosot 5.5 peratus kepada 466,000 berdasarkan data rasmi yang dikeluarkan kerajaan.
"Disebabkan masalah ekonomi, pasangan yang bercinta terpaksa menangguhkan perkahwinan dan akibatnya kadar kelahiran bayi juga turut menurun," kata Pengarah Jabatan Statistik Negara, Jeon Baek-Geun.
Dia meramalkan populasi akan memuncak sebanyak 49 juta pada 2018 dan kemudian akan mula jatuh.
Asan melancarkan pusat kawalan negeri pada tahun 2007 untuk mengasaskan perniagaan mengatur jodoh, kerajaan negeri pertama di Korea Selatan yang melakukannya. Sejak itu, ia turut disertai oleh bandar-bandar seperti Seoul, Seocho, Jeongup dan beberapa lagi.
Tahun lalu, Asan berjaya mengumpulkan 300 individu dalam satu pertemuan rambang. Hingga kini, 20 daripadanya masih berpacaran dengan rancangan perkahwinan bermain dalam fikiran. Sehubungan itu, pihak bandar mengatakan mereka akan meneruskan inisiatif tersebut.
Pusat kaunseling dan perkahwinan di bandar itu telah mendaftarkan 1,700 individu yang masih mencari-cari pasangan bersama maklumat penting seperti jenis pasangan yang diinginkan, hobi, pegangan agama dan latar belakang akademik.
- AFP