Meningitis di Melaka terkawal
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Chua Keng Hua berkata, tiga lagi pelatih yang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sejak 7 Mei lalu hari ini dilaporkan semakin pulih.
Menurutnya, sembilan daripada 10 pelatih yang mendapat rawatan di wad pengasingan dengan gejala jangkitan saluran pernafasan pula, semakin menunjukkan perkembangan untuk pulih.
"Setakat ini, penyakit meningitis berjaya dibendung daripada merebak kepada penduduk sekitar akademi berkenaan dan pelatih yang mendapat rawatan pula semakin stabil serta menunjukkan tanda-tanda pulih.
"Sehubungan itu, orang ramai dan penduduk sekitar akademi tidak perlu panik kerana segala langkah berjaga-jaga dan kawalan rapi ke atas pelatih dipantau pasukan perubatan," katanya kepada pemberita di Pejabat Kesihatan Melaka Tengah di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kematian seorang pelatih Akademi JPJ Tiang Dua di sini yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Melaka dalam kejadian 4 Mei lalu, tiga dimasukkan ke ICU manakala 85 lagi terpaksa dikuarantin akibat radang selaput otak.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohd. Hafiz Zainuddin, 24, berasal dari Kelantan dan menetap di Lot PT 740, Taman Harmoni Kampung Beris Jambu, Kota Bahru, Kelantan.
Mengulas lanjut, Keng Hua berkata, sebanyak 453 pelatih dan kakitangan di akademi berkenaan yang terdedah kepada virus tersebut telah disaring.
"Pelatih yang terbabit kesemuanya lelaki berusia antara 22 dan 24 tahun. Seorang lagi mangsa masih mendapat rawatan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang," katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kata Keng Hua, kesemua pelatih dan kakitangan dikuarantin dan tidak dibenarkan meninggalkan akademi selain mereka dikawal oleh kakitangan Jabatan Kesihatan negeri.
Selain itu, tambahnya, JPJ telah diminta untuk tidak mengambil pelatih baru buat masa ini.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Othman berkata, semua kes menunjukkan gejala utama iaitu demam disertai dengan salah satu atau lebih daripada tanda-tanda seperti sakit kepala, sakit sendi, keletihan, batuk, loya, kejang perut dan menggigil.
Menurut beliau, kejadian dikesan pada 7 Mei lalu apabila sembilan pelatih mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka kerana demam dan tanda-tanda penyakit lain.
"Susulan itu, satu pasukan siasatan yang diketuai Pegawai Kesihatan Daerah dan unit Kawalan Penyakit Berjangkit telah melakukan siasatan dan saringan ke atas pelatih yang terbabit," katanya.
Ekoran itu, kata Ghazali, sampel darah, kencing, swab tekak telah dihantar ke makmal Hospital Melaka dan Institut Penyelidikan Perubatan untuk siasatan lanjut.
"Setakat ini, punca yang menyebabkan serangan bakteria itu masih belum dikenal pasti dan kita menunggu keputusan makmal," katanya.
Beliau berkata, kesemua pelatih terbabit mendapat demam dan tanda lain apabila mereka yang dibahagikan kepada tiga kumpulan menjalani latihan lapangan di Muar, Pedas dan Bukit Katil dari 27 hingga 29 April lalu.
Sehubungan itu, katanya, siasatan turut dijalankan di tiga tempat terbabit untuk mencari punca serangan bakteria.
"Pada cuti Hari Pekerja lalu, mereka telah diberi kebenaran pulang ke kampung halaman masing-masing sebelum kembali ke akademi pada 3 Mei.
"Sebab itu, buat masa sekarang, sukar untuk kita tentukan dari mana penyakit ini berpunca," katanya.
Pada masa sama, katanya, beliau meminta kerjasama daripada empat lagi akademi tersebut di Negeri Sembilan, Kelantan, Pulau Pinang dan untuk membantu mengesan punca penyakit itu.
"Ini kerana kita dapati seorang pelatih yang meninggal dunia berasal dari Kelantan manakala seorang lagi sedang dirawat di Hospital Kepala Batas," katanya.
- UTUSAN