Perolehan Celcom RM1.47 bilion

Celcom (Malaysia) Bhd. (Celcom) yakin mampu mengekalkan prestasi kukuh pada tahun ini selepas merekodkan pertumbuhan perolehan sebanyak 10 peratus kepada RM1.47 bilion daripada RM1.34 bilion bagi suku pertama tahun ini.

Celcom, pengendali rangkaian telefon bimbit tempatan, menikmati pertumbuhan positif bagi 12 suku kewangan berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, prestasi Celcom secara relatifnya baik sejak 2008 hingga suku pertama 2009.

Beliau berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan keputusan memberangsangkan pada suku pertama tahun ini yang merupakan tempoh paling mencabar bagi setiap tahun kewangan.

''Suku pertama adalah waktu mencabar kerana ia merupakan tempoh pelbagai waktu perayaan berlaku dan pesaing kami sendiri telah mengalami kerugian pada suku ini.

''Melalui pelan transformasi yang telah dilaksanakan Celcom sejak tiga tahun lalu, kami yakin akan terus mengekalkan momentum pertumbuhan pada suku kedua dengan keputusan yang jauh lebih baik dan seterusnya pada keseluruhan tahun kewangan ini," katanya selepas mengumumkan hasil kewangan Celcom untuk suku pertama 2009 di sini.

Turut hadir bekas Ketua Pegawai Kewangannya (CFO), Mohamed Adlan Ahmad Tajudin dan CFO Celcom yang baru Chari TVT.

Shazalli berkata, Celcom mencatatkan pertumbuhan dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak 15 peratus kepada RM357 juta pada tahun ini berbanding RM310 juta pada tahun lalu.

Katanya, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat sebanyak lapan peratus kepada RM664 juta berbanding RM614 juta pada tahun sebelumnya.

''Celcom turut menunjukkan peningkatan dalam keuntungan sebelum cukai sebanyak 9.6 peratus kepada RM481 juta pada suku pertama berbanding RM439 juta pada suku keempat tahun lalu," katanya.

Selain itu, Shazalli berkata, Celcom terus kekal sebagai peneraju penyedia perkhidmatan jalur lebar bergerak dengan pelanggannya melebihi 300,000 orang, mewakili pertumbuhan melebihi 200 peratus dari tahun ke tahun.

''Setakat ini, segmen jalur lebar mudah alih Celcom menyumbang empat peratus kepada perolehan dan angka itu dijangka akan terus meningkat kepada 10 peratus tidak lama lagi,'' kata beliau sambil menambah pihaknya mendapat sambutan baik di luar Kuala Lumpur dan akan meningkatkan rangkaian serta kapasisit kepada 10 gigabit.

Shazalli berkata, perniagaan pasca bayarnya juga terus mantap dengan pertumbuhan perolehan sebanyak lima peratus untuk suku pertama dan pelanggan bertambah 183,000 orang untuk membolehkan jumlah keseluruhan melebihi sembilan juta pengguna.

Katanya, di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan kebimbangan terhadap segmen pekerja asing, keadaan itu telah diimbangi melalui pertumbuhan domestik terutamanya dalam perniagaan pasca bayar, jalur lebar, pra bayar dan segmen perusahaan.

Ketika ditanya mengenai 20 peratus pegangan Celcom dalam Tune Talk, Shazalli berkata, pengumuman akan di buat dalam tempoh terdekat ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url