Rumah AFC akan kekal di Kuala Lumpur - Sheikh Salman

Ibu Pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan kekal di Kuala Lumpur.

Itu janji Presiden Persatuan Bola Sepak Bahrain, Sheikh Salman Ebrahim Al-Khalifa sekira- nya beliau dipilih dalam jawatankuasa eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi kerusi Asia Barat.

Salman yang tiba di Kuala Lumpur bagi kempen mendapatkan sokongan negara-negara anggota menjelang pemilihan dalam Kongres AFC 8 Mei ini memberitahu, tiada sebab mengapa ibu pejabat badan bola sepak Asia itu dipindahkan ke lokasi lain.

"Mengapa mahu dipindahkan lokasi ibu pejabat AFC? Lokasi AFC di Kuala Lumpur ini adalah strategik iaitu di tengah-tengah benua kita," kata Salman pada sidang media semalam.

"Jika ia dipindahkan ke negara teluk, sebahagian besar anggota kita akan berdepan perjalanan yang jauh dan penerbangan yang panjang kerana semua mereka tinggal di Malaysia.

"AFC telah berada di Kuala Lumpur lebih 40 tahun, jadi ia sesuatu yang rumit jika dipindahkan ke lokasi lain. Walaupun keputusan ini terpulang kepada anggota kongres tetapi saya rasa semua mereka setuju dengan saya.

Sebelum ini, presiden AFC, Mohamed Hammam mengancam untuk memindahkan ibu pejabat AFC ke Qatar setelah dilaporkan tidak puas hati dengan layanan kerajaan Malaysia yang enggan memenuhi tuntutan 'istimewa' mereka.

Salman yang akan mencabar Hammam bagi kerusi Asia Barat dalam Jawatankuasa eksekutif FIFA itu optimis bahawa majoriti 46 negara anggota akan menyokong memorandumnya yang mahu membangunkan bola sepak Asia pada peringkat akar umbi menerusi bantuan yang sama rata daripada FIFA.

"Jika saya dipilih dalam jawatankuasa ini, saya akan cuba mendapatkan lebih banyak sokongan dan bantuan daripada FIFA bagi membangunkan program bola sepak di Asia.

"Kami mahu mempromosikan keadilan dan sikap sama rata di antara semua anggota AFC dan mahu konfederasi ini bersikap lebih telus dalam program teknikal dan juga kewangan demi kemajuan bola sepak Asia," kata Salman yang juga timbalan pengerusi jawatankuasa disiplin FIFA.

Salman juga menyelar tindakan Hammam yang tidak membenarkan enam negara anggota iaitu Kuwait, Brunei, Laos, Timur Leste, Mongolia dan Afghanistan mengundi pada kongres Jumaat ini biarpun mendapat kelulusan daripada FIFA.

"Saya harap FIFA dapat memantau perkembangan pemilihan dalam kongres Jumaat ini yang mana ada unsur tidak sihat dalam pemilihan ini.

"Saya tidak halang mana-mana negara anggota daripada mengundi. Apa yang saya mahu ialah semua anggota diberi hak untuk menyuarakan pendapat dan pilihan mereka secara bebas," ujar Salman yang perlu menerima sokongan majoriti dua pertiga daripada 46 anggota AFC sekiranya mahu memenangi kerusi tersebut.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url