Banci penduduk pertengahan 2010

Jabatan Perangkaan Malaysia akan melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 pertengahan tahun depan bagi mengemas kini pangkalan data penduduk dan perumahan di negara ini.

Ia bagi menyediakan perangkaan yang relevan dan lebih tepat untuk dijadikan sumber bagi penyediaan model ekonomi baru negara, dan input kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang akan bermula pada 2011.

Ketua Perangkawan Malaysia, Wan Ramlah Wan Abdul Raof, berkata banci yang meliputi keseluruhan isi rumah itu sudah dirancang rapi dengan beberapa pembaharuan dari segi penggunaan teknologi dan pendekatannya.

"Banci ini akan dilaksanakan selama dua bulan pada pertengahan tahun depan membabitkan kos keseluruhan RM212 juta," katanya pada perasmian sambutan 60 tahun Jabatan Perangkaan Malaysia di Putrajaya, semalam.

Perasmiannya disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Wan Ramlah berkata, banci seumpama itu pernah dilaksanakan jabatan itu pada 1970, 1980, 1991 dan 2000.

Sementara itu, Nor Mohamed pada sidang medianya berkata, data yang dipungut daripada banci peringkat kebangsaan setiap sepuluh tahun sekali itu digunakan kerajaan bagi membentuk pelbagai dasar ekonomi negara sebelum ini.

"Data itu juga akan menjadi sumber berguna dalam memantapkan lagi rangka pelaksanaan model ekonomi baru negara," katanya.

Beliau berkata, banci berskala besar itu juga akan menyediakan kira-kira 29,000 peluang pekerjaan kepada mereka yang menganggur dan dibuang kerja akibat kemelesetan ekonomi untuk diambil sebagai pegawai pembanci sambilan.

"Jumlah yang diambil itu adalah tambahan kepada kira-kira 4,500 anggota sambilan yang diambil jabatan ini di bawah bajet pakej rangsangan ekonomi kedua bagi melaksanakan pelbagai projek jabatan," katanya.

Sementara itu, Wan Ramlah berkata, pegawai banci sambilan untuk Banci Penduduk dan Perumahan 2010 itu akan dibayar upah RM70 sehari bergantung kepada kategori.

"Permohonan untuk menjadi pegawai pembanci boleh dibuat menerusi laman web rasmi jabatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, antara bancian dan penyiasatan yang sedang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia adalah Penyiasatan Bersepadu Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2009/2010 bermula Mac 2009 dan akan berakhir April 2010.

Beliau berkata, jabatan itu juga sedang melaksanakan Banci Perdagangan Edaran 2009 bermula Mei hingga Disember 2009.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url