Bengkel kaunseling kebangsaan

Mengapakah gejala sosial dalam kalangan belia masih terus berleluasa? Apakah puncanya? Salah satu sebab berlakunya peningkatan masalah ini adalah kurangnya kesedaran dan rasa tanggungjawab individu serta masyarakat sendiri.

Jika masalah tersebut tidak ditangani dengan kaedah berhemah maka dikhuatiri hasrat kerajaan untuk melahirkan Modal Insan Kelas Pertama bagi merealisasikan Wawasan 2020 tidak tercapai.

Sebelum nasi menjadi bubur dan sebagai langkah pencegahan masalah sosial yang semakin berleluasa, Bengkel Kaunseling Peringkat Kebangsaan ke-26 anjuran Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama pelajar Diploma Psikologi (Kaunseling) sesi 2008/2009 akan diadakan pada 2 dan 3 Jun ini.

Bengkel dua hari itu akan berlangsung di Bilik Senat, Aras 5, Bangunan Canselori UKM, Bangi.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Bengkel tersebut, Dr. Rozainee Khairuddin berkata, tujuan utama penganjuran bengkel itu adalah untuk memberi pendedahan, pengetahuan teori dan amali serta kefahaman, penjelasan dan peneguhan dalam bidang kaunseling kepada para peserta.

"Bengkel ini turut memberi pendedahan mengenai peranan kaunseling dalam menangani isu-isu berhubung keluarga masyarakat dan membincangkan isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

"Ia juga mewujudkan kesedaran bahawa kesejahteraan keluarga dan masyarakat menjadi tanggungjawab bersama," katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo!.

Menurut Rozainee, pesertanya pula terdiri daripada pelajar-pelajar program Diploma Psikologi (Kaunseling) serta orang ramai.

Selain itu, Rozainee berkata, bengkel ini akan menyaksikan pembentangan kertas kerja daripada para pembentang yang terlibat dalam bengkel kebangsaan itu.

"Pembentangan kertas kerja itu meliputi topik seperti peranan kaunseling dalam kefungsian dan kohesi keluarga, kesihatan mental dan gaya kognitif remaja delinkuen serta meningkatkan kesejahteraan psikologi dan keupayaan berfikir warga tua.

"Kesihatan mental dan sokongan sosial dalam kalangan isteri yang didera, peranan psikologi dalam menangani tingkah laku agresif dan aktiviti jenayah dalam kalangan mat rempit dan sebagainya akan turut dibincangkan dalam bengkel ini," katanya lagi.

Tambahan pula, pihak penganjur menyediakan terapi pasangan dan terapi keluarga struktur untuk para peserta.

Katanya, yuran penyertaan untuk bengkel itu diklasifikasikan seperti berikut iaitu peserta atau pembentang dikenakan bayaran sebanyak RM250 manakala siswa dan para pelajar pula perlu membayar RM100.

Bagi mereka yang berminat dan ingin mendapatkan keterangan lanjut, sila hubungi Sekretariat Bengkel Kaunseling Peringkat Kebangsaan ke-26, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi talian 03-8915 264/ 5208/ 5210 dan faks 03-8921 3541.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url