Promosi percutian murah

Persembahan nyanyian oleh artis-artis terkenal tempatan seperti Jamal Abdillah, Stacy, Saleem, Ramlah Ram, Mila, Farah AF dan Amylea bakal memeriahkan lagi Pameran Percutian Zoom! Malaysia di Kuantan.

Mahu bercuti dalam negara dengan harga pakej yang jauh lebih murah dan berbaloi?Jika anda seorang kaki cuti atau sedang merancang percutian bersama keluarga menjelang musim cuti sekolah hujung minggu depan, inilah masanya.

Kunjungi Pameran Percutian Zoom! Malaysia 2009 yang kini sedang rancak berlangsung di East Coast Mall, Kuantan, Pahang.

Pameran Percutian Zoom! Malaysia bertujuan mempromosikan produk-produk pelancongan domestik secara bersepadu.

Program yang berbentuk jualan terus itu memudahkan orang ramai untuk membeli terus pakej-pakej pelancongan pada harga yang kompetitif dan berpatutan.

Keistimewaan inilah yang disediakan penganjur Tourism Malaysia yang bersedia untuk menanti kunjungan anda selama tiga hari acara berkenaan berlangsung bermula semalam.

Seramai 72 pempamer yang terdiri daripada agensi pelancongan, hotel dan resort, syarikat pengangkutan serta pengusaha produk pelancongan dan homestay dari seluruh negara menyertai acara itu.

Pakej-pakej percutian yang ditawarkan memenuhi cita rasa rakyat Malaysia yang majmuk dan meliputi segmen-segmen yang bersesuaian dengan murid sekolah, pelajar tempatan dan asing, golongan belia, pasangan muda, keluarga, pesara, warga emas dan ekspatriat.

"Pakej-pakej percutian di bawah segmen Xcape, Xplore dan Xperience Holidays ini meliputi pelbagai tema termasuk pelancongan eko, rekreasi, pusat peranginan tanah tinggi, pulau-pulau, peninggalan sejarah, pakej ibadah korban dan aqiqah.

"Pameran Percutian Zoom! Malaysia Kuantan ini turut mempromosikan brosur pakej Xcape Holidays edisi ketiga yang mengandungi 74 pakej percutian meliputi pelbagai destinasi di seluruh negara," menurut jurucakap Zoom! Malaysia.

Pakej Xcape Holidays edisi ketiga yang akan berakhir pada 31 Disember tahun ini turut dipaparkan di laman web Tourism Malaysia di bawah tajuk pakej pelancongan. Layari www.tourism.gov.my untuk mendapatkannya.

"Para pengunjung pameran pelancongan ini juga boleh menyertai pelbagai aktiviti sampingan yang dijalankan di sekitar kawasan pameran seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, kuiz pelancongan, cabutan bertuah dan persembahan kebudayaan.

"Selain itu, artis-artis terkenal seperti Jamal Abdillah, Stacy, Saleem, Ramlah Ram, Mila, Farah AF, Amylea dan ramai lagi turut memeriahkan pameran dengan persembahan mereka," katanya.

Lebih menarik, para pempamer turut menawarkan pelbagai hadiah berupa pakej lawatan dan penginapan hotel ke pelbagai lokasi menarik di Pulau Tioman, Kuantan, Cameron Highlands, Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Johor, Kedah dan Melaka.

Pameran Percutian Zoom! Malaysia dibuka untuk orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Masuk adalah percuma.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url