Chavez: Hormati kemenangan Ahmadinejad
“Kami menggesa seluruh dunia supaya menghormati Iran kerana terdapat percubaan untuk melemahkan kekuatan revolusi Iran,” kata Chavez dalam ucapan mingguannya di radio dan televisyen semalam.
Kenyataannya itu bertentangan dengan kritikan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah terhadap tindakan yang diambil oleh kerajaan Iran untuk menghentikan protes dan menyekat liputan media terhadap kekacauan yang meletus.
Media rasmi Iran melaporkan, sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh sejak keganasan tercetus lebih seminggu lalu berikutan keputusan pilihan raya 12 Jun yang dipertikaikan oleh kem yang tewas.
“Kemenangan Ahmadinejad adalah kemenangan mutlak. Mereka cuba memburuk-burukkan kemenangan Ahmadinejad dan dengan itu cuba melemahkan kerajaan dan revolusi Islam. Saya tahu mereka tidak akan berjaya,” tegas Chavez.
Pemimpin Venezuela yang berhaluan kiri itu berkata, beliau telah menelefon Ahmadinejad selepas pilihan raya untuk menyuarakan sokongannya.
Kementerian Luar Venezuela mengeluarkan satu kenyataan yang membidas ‘kempen hebat dan tidak berasas oleh pihak luar untuk memburuk-burukkan’ Presiden Iran itu.
– AFP