Cyberjaya bandar pertama aplikasi CCTV kesan jenayah


Cyberjaya menjadi bandar pertama di negara ini yang mengaplikasikan sistem pemantauan secara digital melalui kamera litar tertutup (CCTV) dengan perkhidmatan panggilan kecemasan 999 (MERS 999).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, pembangunan sistem itu menjadi teras pemantapan keselamatan awam di samping mempercepatkan penghantaran bantuan kecemasan ke lokasi.

Selain itu, katanya, bukti-bukti kecemasan seperti jenayah, kemalangan, kebakaran dan bencana alam dapat dilihat secara jelas oleh pegawai bertugas di pusat operasi.

"Projek integrasi CCTV dan MERS 999 adalah projek perintis di bawah program Bandar Selamat yang telah diperkenalkan kerajaan bagi memastikan persekitaran selamat.

"Sebagai bandar teknologi maklumat dan komunikasi, pelaksanaan sistem ini diharap menarik minat pelabur asing menjalankan perniagaan di sini," katanya pada majlis pelancaran sistem itu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf; Pengarah Urusan Cyberview Sdn. Bhd., Datuk Redza Rafiq dan Naib Presiden Eksekutif Telekom Malaysia Berhad, Datuk Kairul Annuar Mohamed Zamzam.

Sistem menyediakan perkhidmatan kecemasan secara serentak menerusi satu pelantar kepada empat agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pertahanan Awam.

Buat permulaan sebanyak 30 unit CCTV bernilai RM10 juta dipasang untuk tempoh 10 tahun.

Sementara itu, pada sidang akhbar, Musa berkata, sistem kawalan sepanjang masa akan diperluaskan di semua bandar terutama di Lembah Klang sebagai salah satu penyalur maklumat tepat ke balai-balai polis bagi membanteras jenayah.

"Pada masa ini projek pemasangan sistem berkenaan akan dilaksanakan ke semua negeri dalam empat fasa yang telah bermula Oktober 2007 dan akan siap pada Jun 2010.

"Sistem ini diharap dapat menjadi mata kepada Bukit Aman dan boleh memantau kereta peronda menerusi peta yang dipaparkan seperti yang telah dilaksanakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, sistem itu mampu mengurangkan kejadian jenayah apabila panggilan kecemasan dapat diberi tindak balas dalam masa singkat.

"Pada masa akan datang, saya berharap sistem ini akan dapat dipasang di semua stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel, bagaimanapun ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url