Hari Gawai disambut meriah


Hari Gawai disambut meriah masyarakat Dayak di seluruh negeri Sarawak sebagai tanda berakhirnya musim menuai dengan amalan rumah terbuka diteruskan bagi meraikan rakan dari kaum lain yang datang berkunjung ke rumah.

Presiden Parti Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan Ikom, berkata rumah terbuka yang dihadiri berbilang kaum adalah bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri bagi mengukuhkan perpaduan rakyat negara ini.

Katanya, walaupun Hari Gawai sinonim dengan masyarakat Dayak yang terdiri daripada suku kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, namun ia berjaya ditransformasi sebagai sambutan yang boleh disertai semua kaum di negara ini.

"Hari Gawai bukan sekadar hari untuk bersukaria, bernyanyi atau mendengar muzik sahaja tetapi ia menjadi simbol perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini kerana ia diterima semua pihak.

"Saya bersetuju dengan konsep 1Malaysia dengan perayaan perlu dijadikan salah satu medium bagi merapatkan jurang antara kaum dengan penyertaan masyarakat di negara ini perlu terus dipertingkatkan lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Hadir pada rumah terbuka William ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Mohammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah; Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Openg dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nasar.

William yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi berkata, kegawatan ekonomi global tidak menjejaskan sambutan Hari Gawai dengan kebanyakan keluarga bertindak bijak apabila hanya berbelanja untuk barang yang diperlukan.

"Masyarakat Dayak banyak menerima perubahan dalam hidup mereka malah bagi mereka yang berkhidmat dalam bidang profesional maklum Hari Gawai bukan waktu bagi membazir dengan membeli barang yang tidak penting.

"Sambutan tahun ini tidak banyak berbeza berbanding tahun terdahulu, malah di rumah panjang kemeriahannya lebih terasa berikutan kehadiran pelancong luar yang berminat mendalami adat resam masyarakat Dayak," katanya.

Pada 13 Jun ini, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, dijangka menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Hari Gawai yang dianjurkan di Stadium Perpaduan Negeri, Petra Jaya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url