Enam lagi diburu bantu kes ah long Kristal 9


Enam lagi ahli kumpulan ah long Kristal 9 - Gem Enterprise (K9) termasuk ketuanya sedang diburu bagi membantu siasatan kes tiga peminjam wang yang dikurung dan dirantai seperti binatang di sebuah rumah kedai di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu, Franco atau Ong Leng Kok, 32, yang beralamat di Taman Cheras Indah ialah ketua kumpulan itu yang menguasai seluruh negeri ini.

Beliau berkata, suspek lain ialah Chan Ching Fatt @ Ah Fatt, 21, beralamat di Jalan Klang, Puchong yang mengetuai kawasan Klang dan seorang lagi Yong Hock Fai @ Alex, 25, dari Taman Kosas, bagi kawasan Ampang.

Tambahnya, polis juga memburu pembantu kepada Alex iaitu Lee Chin Onn @ Kai Chi, 23, beralamat di Pandan Perdana yang ditugaskan untuk menculik mana-mana peminjam yang gagal membayar hutang mereka.

‘‘Dua lagi ahli kumpulan itu turut diburu tetapi identiti mereka masih belum dapat dikenal pasti,’’ katanya kepada pemberita sebelum mengedarkan gambar-gambar suspek tersebut di sini hari ini.

Dalam kejadian Rabu lalu, tiga lelaki diperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam ‘lokap’ buatan ah long kerana gagal menjelaskan hutang.

Malah mereka hanya diberi makan sebuku roti setiap dua minggu dan minum air paip dalam bilik kecil yang dilengkapi tandas.

Khalid berkata, K9 adalah sebuah organisasi haram yang terancang kerana hasil daripada rampasan dilakukan menemui pelbagai maklumat termasuk data-data peminjam.

Katanya, pemeriksaan turut mendapati kumpulan itu mempunyai bidang penugasan masing-masing termasuk menculik peminjam atau menyimbah cat ke rumah mangsa.

‘‘Kumpulan ini yang bergiat sejak 2006 dipercayai mengutip sekitar RM40,000 sehari atau pun kira-kira setengah juta ringgit sebulan hasil kegiatan menawarkan perkhidmatan meminjam wang ah long,’’ jelasnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url