Manohara dakwa didera larikan diri
Berita mengenai isteri Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot, 17, yang melarikan diri daripada suaminya ketika berada di Singapura, mendapat liputan meluas akhbar di Indonesia.
Manohara, yang mendakwa didera secara fizikal dan seksual oleh suaminya, turut menjadi berita utama 10 stesen televisyen swasta yang menyiarkan sidang media dan wawancara dengannya dari pagi hingga petang sejak semalam, sekembalinya ke Jakarta.
Seluruh Indonesia teruja mengikuti pengalaman bekas model itu mengenai bagaimana beliau melarikan diri daripada suaminya ketika berada di sebuah hotel di Singapura, dengan bantuan polis republik itu selain Kedutaan Amerika Syarikat dan Kedutaan Indonesia di sana.
Drama itu bermula apabila ibu Manohara, Daisy Fajarina, datang ke Singapura dalam usaha membawa anaknya pulang.
Manohara dipetik berkata, keluarga kerabat diraja Kelantan mengetahui kedatangan ibunya dan bertindak memendekkan lawatan mereka ke Singapura.
Keluarga diraja Kelantan berada di Singapura bagi mengiringi Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang sakit dan mendapatkan rawatan di republik itu.
Manohara mendakwa anggota keluarga diraja cuba menguncinya dalam sebuah bilik di hotel tempat mereka menginap bagi menghalang beliau menemui ibunya.
"Bagaimanapun, saya menekan butang loceng kecemasan di lif hotel tanpa henti sehingga pihak polis Singapura datang membantu.
"Polis berkata, tiada siapa pun boleh menahan saya tanpa persetujuan saya sendiri kerana ia mencabuli hak asasi saya," katanya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia ketika ditemu bual Global TV.
Manohara dibawa keluar ke sebuah bilik lain dan disertai ibunya tidak lama kemudian. Kedua-dua mereka menaiki penerbangan pulang ke Jakarta awal pagi Ahad dan mengadakan sidang media beberapa jam selepas itu.
Kementerian Luar Indonesia mengesahkan Kedutaan Amerika Syarikat dan Kedutaan Indonesia di Singapura terbabit dalam usaha membantu Manohara pulang ke Jakarta.
Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah, berkata kerajaan Indonesia akan menunggu tindakan lanjut keluarga Manohara sebelum memutuskan pendirian rasmi.
"Manohara berhak mendapat bantuan Kedutaan Amerika Syarikat kerana beliau memiliki taraf kerakyatan negara itu. Buat masa sekarang, kita tunggu dan lihat apa tindakan susulan yang akan diambil keluarga beliau," katanya.
Sementara itu, di Kota Bharu, Istana Kelantan enggan mengulas mengenai pelbagai berita hangat yang diperkatakan sekarang mengenai Manohara.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata beliau tidak berani membuat sebarang kenyataan mengenai Manohara kerana tiada arahan untuk berbuat demikian oleh pihak istana.
"Cerita sebenar mengenai Manohara, saya tidak tahu kerana keluarga diraja Kelantan masih berada di Singapura," katanya ketika dihubungi semalam.
Manohara, dalam sidang media di Indonesia, menyuarakan kekecewaannya terhadap kedutaan negaranya di Malaysia kerana tidak menyiasat dakwaan beliau didera itu sehingga terpaksa melarikan diri.
Bagaimanapun, seorang sahabat karib kepada Tengku Muhammad Fakhry, Mohd Soberi Shafii, berkata Manohara tidak melarikan diri atau dilarikan, sebaliknya pulang dengan izin suaminya.
- BERITA HARIAN
macam2,,,masa sy ke indonesia last week,memang kecoh sungguhla kes nih!
macam2