Gelombang perubahan politik Iran?
Pemilihan Presiden Iran semalam berlangsung dalam andaian yang kuat bahawa satu transisi kuasa bakal berlaku di negara Islam itu.
Figura Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang selama ini menjadi simbol kekuatan negara berkenaan dilihat semakin terhakis pengaruhnya menjelang detik-detik pengundian.
Kelibat Ahmadinejad dibayangi oleh bekas Perdana Menteri, Mir-Hossein Moussavi. Sepanjang berkempen, Moussavi memperlihatkan pendiriannya sebagai pejuang kebebasan hak-hak rakyat, mengutamakan kepentingan negara dan terbuka dengan dunia luar.
Kerana prinsip itu juga, Moussavi dikatakan mendapat dokongan kuat daripada tokoh berpengaruh Iran, Mohammed Khatami.
Selain Ahmadinejad dan Moussavi, dua lagi calon Presiden pada pemilihan kali ini ialah Mohseen Rezae dan Mehdi Karroubi.
Empat calon ini membentuk dua blok aliran pemikiran politik dengan Ahmadinejad dan Mohsen mewakili kumpulan konservatif manakala Moussavi dan Karroubi mengetuai kumpulan reformis.
Mendapat sokongan penuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah Khameini dan gerakan Islam, kumpulan konservatif sangat vokal serta tegas dalam menyuarakan masalah umat Islam sejagat.
Berbeza dengan reformis, aliran pemikiran ini pula lebih bersikap terbuka. Isu-isu yang ditumpukan menjurus kepada polemik setempat seperti pemulihan ekonomi serta kebebasan hak-hak wanita dan kerajaan.
Umumnya, pertembungan antara kumpulan konservatif dengan moderate yang mahukan perubahan di pentas pemilihan Presiden Iran bukanlah sesuatu yang baru.
Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai apatah lagi kumpulan konservatif masih menguasai Parlimen.
Kerana itu juga, ramai penganalisis berpendapat, pemilihan Presiden kali ini sekali lagi akan dimenangi oleh kumpulan konservatif atau lebih tepatnya Ahmadinejad.
Keyakinan sama turut dilontarkan oleh Timbalan Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mohd. Izani Mohd. Zain.
Menurut Mohd. Izani, sentimen kebanyakan rakyat Iran ketika ini masih mahukan pemimpin yang lantang dan berani mengkritik barat khususnya Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel.
Nilai-nilai Islam yang mewakili pemikiran Ahmadinejad barangkali tidak menjadi ukuran utama rakyat Iran.
Sebaliknya, sikap dan pendirian beliau memperjuangkan keadilan dan maruah Iran lebih mendapat sokongan.
''Imej Iran yang dianggap musuh barat memerlukan kehadiran Ahmadinejad kerana beliau dilihat satu-satunya pemimpin yang berani mengkritik barat secara terbuka dan konsisten," jelasnya.
Bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud gelombang reformis tidak mampu mencipta kejutan pada pemilihan Presiden kali ini.
Moussavi yang dibantu tokoh disegani seperti Khatami menunjukkan bahawa wujud keinginan yang kuat untuk membetulkan corak pentadbiran Ahmadinejad.
Soal dasar luar Ahmadinejad yang keras sehingga memencilkan Iran daripada masyarakat antarabangsa misalnya, menjadi isu yang boleh mengalih sokongan terhadap Moussavi.
Bagi Mohd. Izani juga, kejayaan Presiden AS, Barack Obama dalam pemilihan negara itu tahun lalu menggamit harapan terhadap kejayaan kumpulan moderate di mana-mana negara Islam, termasuk di Iran.
Lawatan dan ucapan Obama di Kaherah baru-baru ini dikatakan cuba meraih sokongan masyarakat Islam dan memperbaiki persepsi buruk terhadap negara kuasa besar itu.
''Justeru, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mengandaikan AS juga memainkan peranan dalam pemilihan Presiden Iran dengan cuba membantu atau menaja mana-mana calon untuk menumpaskan Ahmadinejad," ujar beliau.
Pemilihan kali ini juga menjadi sukar bagi Ahmadinejad apabila kumpulan minoriti mewakili suara yang lebih besar berbanding sebelumnya.
Kelompok etnik minoriti seperti Lor, Azeris, Baluchis, Kurdish, Arab dan Turkoman serta minoriti non-Parsi berjumlah hampir separuh daripada populasi Iran.
Di bawah kerajaan Ahmadinejad, kumpulan ini mendakwa dipinggirkan dan dinafikan kebebasan untuk bersuara dan berpolitik.
Ahmadinejad juga melarang penggunaan bahasa masyarakat minoriti kerana mahu mempertahankan identiti kebangsaan Iran menerusi bahasa dan agama nasional.
Suara penentangan kumpulan minoriti menjadi kelebihan dan senjata buat Moussavi dan Mehdi Karroubi untuk mengkritik Ahmadinejad.
Moussavi sebaliknya berjanji memberi kebebasan untuk bahasa-bahasa etnik minoriti itu digunakan secara meluas.
Sesuatu yang pasti, keputusan pemilihan Presiden Iran kali ini akan terus memberi impak kepada isu-isu besar yang membelenggu negara itu.
Hubungan dengan negara barat, tekanan ke atas Israel dan pengembangan teknologi nuklear adalah isu yang tidak boleh dielak sama ada oleh kubu reformis atau konservatif.
Mohd. Izani berpendapat, seandainya Moussavi berjaya membuat kejutan, skala isu-isu ini barangkali tidaklah begitu besar, namun masih relevan.
Sekurang-kurangnya juga, dasar luar Iran semakin baik dan terbuka. Tidak mustahil AS akan cuba mendekati Iran tanpa prejudis yang menebal.
''Pendekatan sama pernah diambil oleh Khatami sewaktu bergelar Presiden yang mana beliau pernah melawat Washington dan membuka usaha dialog," jelas beliau.
Bagaimanapun, penerimaan pastinya berbeza di kalangan negara-negara Arab yang lain.
Kemenangan Ahmadinejad sebenarnya lebih diharapkan berbanding Moussavi. Ini kerana, negara-negara Arab memerlukan Ahmadinejad untuk dijadikan kambing hitam dalam setiap permasalahan yang berlaku di rantau Timur Tengah.
Kebangkitan kumpulan pejuang pembebasan Islam seperti Hamas dan Hizbollah misalnya akan terus dikaitkan dengan Ahmadinejad sebagai penaja keganasan.
Begitu juga dengan kedegilan Iran dalam isu nuklear yang memberi kelebihan dari sudut ekonomi, politik dan keselamatan negara Timur Tengah lain dengan kuasa besar seperti AS.
Namun apa yang paling dibimbangi sekiranya kumpulan reformis berjaya menakluk Iran ialah, sentimen perubahan itu akan turut tersebar luas ke rantau itu.
Ia pastinya menggoncang kedudukan kerajaan negara Arab lain yang selama ini selesa meneruskan pengaruh kekuasaan mereka menerusi pewarisan legasi kuasa.