Kaka menang Bola Emas Piala Konfederasi 2009
Pemain yang baru menyertai Real Madrid, Kaka telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Piala Konfederasi 2009, sekali gus memenangi anugerah Bola Emas.
Rakan sepasukannya, Luis Fabiano yang meledak dua gol ketika Brazil bangkit menewaskan Amerika Syarikat 3-2 pada final awal pagi semalam menduduki tempat kedua manakala pemain tengah Amerika Syarikat, Clint Dempsey di tempat ketiga.
Fabiano bagaimanapun menerima anugerah Kasut Emas selepas muncul penjaring terbanyak dengan lima gol sementara penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard dipilih sebagai pemenang Sarung Tangan Emas berdasarkan aksi tangkasnya menjaga gawang Amerika.
Kaka berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukannya kerana membawa Brazil muncul juara dan juga membantunya memenangi anugerah Bola Emas itu.
"Saya sangat gembira kerana menjadi pemain terbaik dan pasukan saya muncul juara.
"Apa yang lebih penting, bagi saya ialah menang gelaran ini ketika Brazil muncul juara. Jika tidak, saya tidak akan memperolehnya. Jadi, terima kasih kepada semua rakan sepasukan," kata bekas pemain AC Milan itu.
Ditanya tentang karier barunya bersama Real selepas ini, Kaka berkata: "Untuk menghormati dunia baru saya di Madrid, saya akan bercakap mengenainya pada Selasa (hari ini) apabila saya secara rasmi menjadi pemain kelab berkenaan."
- AFP
torres sepatutnye menang ;(