Kena sihir bukan mustahil
Gangguan kuasa jahat daripada jin dan syaitan boleh terkena kepada mana-mana pihak, terutama individu yang malas beribadat, sehingga membuatkan dirinya jauh daripada Tuhan.
Yang Dipertua Pusat Perubatan Islam Darul Salam, Abdul Hadi Ahmad Talhah, berkata gangguan itu adalah suatu perkara yang berlaku tetapi sesetengah doktor menafikannya, disebabkan gagal dikesan.
Menurutnya, ada orang mengerjakan solat, zikir dan puasa tetapi masih terkena juga gangguan syaitan.
"Tetapi yang penting kita baca (al-Quran) selalu, mudah-mudahan kita dapat elak gangguan jin dan syaitan atau sihir," katanya dalam satu bual bicara rakaman rancangan Radio Ikim, di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Rakaman rancangan itu bertajuk Perubatan Konvensional dan Alternatif: Di mana Titik Pertemuan, turut membabitkan pensyarah Kolej Perubatan Cyberjaya, Dr Suriyakhatun Osman dan Shamsul Azhar Mahmood daripada Medic Massage.net.
Abdul Hadi berkata, gangguan kuasa jahat itu bagaimanapun boleh diatasi dengan kaedah tertentu yang sesuai dengan Islam, seperti mengamalkan ayat al-Quran yang menjadi pendinding diri.
Menurutnya, seseorang itu kena beramal terlebih dulu kerana orang yang tidak beramal, walaupun dibaca ayat al-Quran tidak akan memberikan kesan mujarab.
Beliau menjelaskan, antara ayat yang wajar dibaca bagi mengelak gangguan itu ialah ayat Kursi, surah an-Nas, surah al-Falaq dan surah al-Ikhlas, malah boleh juga diazankan ke telinga orang yang terkena gangguan.
"Kalau azan tidak menjadi juga, pergilah jumpa orang yang selayaknya," katanya, sambil menjelaskan, beliau selalunya membaca ayat ruqyah (pendinding) untuk merawat dan mengubati pesakit yang terkena gangguan terbabit.
"Mungkin selepas baca dia akan sejuk, panas, meraung atau tidak berasa apa-apa, mungkin ada makhluk itu menonjol keluar, maka sahlah dia ada penyakit gangguan.
"Orang yang alami gangguan ini juga biasa diganggu dalam tidur, mimpi yang buruk, umpamanya mimpi dikejar makhluk yang tidak pernah dilihat, mimpi jatuh bangunan tinggi atau mimpi dipatuk ular.
"Tandanya diganggu syaitan atau jin. Kena cepat cegah awal supaya dapat mengelakkannya beranak pinak, tetapi janganlah jumpa bomoh tidak sepatutnya," katanya.