Komentar - Memperkukuhkan Dewan Ulama PAS
Mungkin ada berpendapat seperti tahun-tahun sebelumnya tiada apa yang menarik dalam persidangan Dewan Ulama Pas yang berlangsung hari ini.
Tetapi hakikatnya, Dewan Ulama Pas yang bersidang di Shah Alam itu akan berlangsung dalam situasi di mana kedudukan golongan ulama di dalam Pas semakin tergugat.
Justeru ada yang mengharapkan agar dalam persidangan kali ini, golongan ulama Pas akan memberikan mesej yang jelas supaya peranan mereka tidak harus diperkecilkan oleh mana-mana pihak.
Sejarah penubuhannya, Pas sudah membuktikan bahawa ia ditubuhkan atas keringat perjuangan dan air mata golongan ulama. Justeru adalah tidak wajar apabila Pas berada dalam kedudukan yang kukuh berikutan kejayaan pada pilihan raya umum lalu, golongan berkenaan seolah-olah mahu dipinggirkan.
Kenapakah baru sekarang ada pihak-pihak tertentu yang bercakap soal bahawa jika Pas terus dibimbing ulama mereka tidak akan ke mana-mana? Atau kenapa ada puak yang sanggup berhujah bahawa golongan ulama atau ustaz dalam Pas hanya tahu memberi ceramah dan kuliah agama sahaja?
Hakikatnya, jasa golongan ulama dalam Pas terlalu besar. Oleh itu Dewan Ulama yang akan bersidang hari ini perlu memberikan mesej yang jelas kepada kelompok tertentu jangan melayan golongan ulama ibarat "habis madu sepah dibuang".
Kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr.Haron Din dalam satu wawancara harus direnung oleh semua pihak, antara lain beliau berkata:
''Kita perlu sedar bahawa dasar kepimpinan ulama dibuat bukan untuk kepentingan sesiapa tetapi merupakan keperluan dalam perjuangan Islam. Wujud juga tafsiran yang sengaja atau mungkin tidak faham dengan perjuangan Pas apabila kepimpinan ulama mahu ditukar kepada kepimpinan Islam.
''Istilah itu tidak berlawanan jika kepimpinan Islam berteraskan ulama namun jika pemimpin yang memimpin adalah Islam sahaja, maka tafsirannya terlalu luas.
"Seolah-olah, sesiapa sahaja boleh memimpin Pas asalkan dia itu Islam. Itu konteks yang luas dan boleh mengundang pelbagai hujah dan fitnah. Tetapi jika yang memimpin PAS adalah ulama, maka ada hadnya supaya ada ciri-ciri serta kriteria tertentu untuk menjadi pemimpin tertinggi parti Islam ini."
Demikianlah hujah Haron yang seharusnya difahami oleh semua pihak. Peranan ulama dalam Pas amat penting kerana kelompok tersebut mampu menjadi pembimbing kepada pemimpin dan ahli parti itu.
Berdasarkan hakikat itu, kedudukan Dewan Ulama harus diperkukuhkan, ia tidak boleh dibiarkan wujud sekadar pemerhati sahaja. Pemimpin dan anggota golongan ulama seharusnya diberikan peranan lebih luas lagi bagi mengelakkan Pas lari daripada asas perjuangannya.
Mereka sepatutnya diberi kuasa termasuklah memastikan sebarang tindakan politik yang hendak dilakukan oleh Pas perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Syura dan disokong sepenuhnya oleh Dewan Ulama.
Ini bagi memastikan apa juga tindakan yang dibuat, ia tidak sampai sehingga menjejaskan kekuatan Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.
Ia termasuklah dalam soal kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain kerana umum tidak mahu melihat Pas seolah-olah hanya menjadi 'pengikut' kepada Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Berikutan senario politik sekarang dan dalam keadaan Pas semakin diterima oleh seluruh lapisan masyarakat serta dianggap menjadi saingan utama kepada UMNO, peranan ulama amat penting dalam memastikan apa juga langkah yang dilakukan parti itu sentiasa berada di landasan yang betul.
Kita tidak menafikan bahawa golongan ulama juga ada kelemahan tetapi kelemahan itu seharusnya diberikan teguran bagi tujuan diperbetulkan untuk kebaikan bukannya perlu diperlecehkan oleh sesetengah pihak.
Oleh itu, sudah tiba masanya, Dewan Ulama memperkukuhkan kedudukannya dalam parti dan memainkan peranan lebih aktif bagi menunjukkan kewujudannya. Mereka harus bertindak sebagai penasihat yang sebenar-benarnya atau pemantau kepada perjalanan parti.
Melalui tindakan sedemikian ia akan menunjukkan Dewan Ulama juga mempunyai fungsi dalam menyumbang mengekalkan kepimpinan ulama serta menjadikan Pas sebagai sebuah parti politik yang disegani.
Selain itu, Dewan Ulama juga perlu lebih aktif dalam memberikan pandangan dalam isu-isu berkaitan dengan agama serta kepentingan ummah secara keseluruhan.
Apa pun di bawah kepimpinan baru yang diterajui oleh Datuk Dr. Harun Taib, ramai yang yakin bahawa Dewan Ulama akan mendapat nafas baru kerana beliau dilihat seorang pemimpin yang tegas dan berwibawa.
Ketegasan itu pernah dibuktikan apabila suatu ketika, beliau menegur konsert Mawi di Kelantan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas.
Semoga persidangan Dewan Ulama kali ini akan mencapai matlamatnya untuk memastikan kelangsungan Pas sebagai parti yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan.