Tiada pakej rangsangan baru – TPM

Kerajaan tidak akan mengumum sebarang pakej rangsangan terbaru selepas pakej rangsangan pertama dan kedua bernilai RM67 bilion diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa sekarang kerajaan tidak melihat sebarang keperluan untuk mengumumkan sebarang bentuk pakej rangsangan kerana berpendapat ia sudah mencukupi.

“Tiada pakej rangsangan ketiga, kerana kita berpendapat apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri sudah mencukupi,” katanya selepas merasmikan Kongres Dewan Dunia Ke-6 dan Pameran Smidex di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, kerajaan telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi dan kementerian supaya menggunakan dana untuk keperluan bagi memulakan projek-projek pada masa yang depan.

Beliau juga berkata, buat masa sekarang kerajaan tidak memikirkan untuk meliberalisasi sektor lain selepas 27 sub sektor yang meliputi perkhidmatan dalam bidang perkhidmatan sosial dan kesihatan, pelancongan, pengangkutan, perkhidmatan perniagaan serta komputer dan perkhidmatan yang berkaitan serta sektor kewangan diumumkan.

Jika ada katanya, kerajaan akan melaksanakan liberalisasi progresif perkhidmatan sub-sektor lain untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kapasiti dan daya saing.

Katanya, langkah untuk meliberalisasi sektor perkhidmatan dijangka menarik pelaburan langsung asing, menggalakkan pemindahan teknologi dan kepakaran khusus, mewujudkan peluang untuk syarikat Malaysia berkembang ke pasaran serantau dan antarabangsa serta meningkatkan daya saing, melalui usaha sama dengan rakan kongsi asing.

“Langkah seterusnya akan dilaksanakan bagi menambah baik pelaburan, mengurangkan kos menjalankan serta operasi perniagaan terutamanya dengan meningkatkan sistem penyampaian kerajaan,’’ ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diarahkan supaya memantau operasi industri permotoran tempatan agar apa yang berlaku terhadap General Motors di Amerika Syarikat tidak berlaku kepada dua pengeluar kenderaan tempatan.

Beliau berkata, kerajaan sedang meneliti secara perkembangan industri permotoran negara dan berharap ia tidak akan memberi kesan secara langsung atau tidak langsung terhadap industri permotoran negara.

“MITI diberi tanggungjawab untuk meneliti secara terperinci perkembangan ini dan berharap ia tidak akan memberi kesan kepada industri permotoran negara,” katanya.

Dalam ucapan perasmiannya Timbalan Perdana Menteri memberitahu, Malaysia kini menduduki tangga ke-21 sebagai pengeksport terbesar dunia dengan jumlah dagangan mencecah RM1.19 trilion pada tahun lalu.

Kedudukan di tangga ke-21 itu disumbangkan oleh kenaikan jumlah eksport sebanyak 6.8 peratus berbanding tahun 2007.

Beliau menambah, eksport meningkat sebanyak 9.6 peratus kepada RM663.5 bilion sementara jumlah import pula meningkat 3.3 peratus kepada RM521.5 bilion dengan jumlah perbezaan sebanyak RM142 bilion.

“Ia menjadikan jumlah perbezaan dagangan selama 137 bulan berturut-turut atau selama 11 tahun setengah sejak 1998.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url