Komuniti maya LG
Fenomena trend blogger bertiup kencang dalam kalangan warga LG Electronics yang tidak ketinggalan memperkenalkan blog LG.
Sejak berkembangnya dunia interaktif di alam maya, laman blog tumbuh bagaikan cendawan. Laman blog masih kekal bertahan di sebalik kemeriahan Friendster, Facebook dan kini 'demam' Twitter.
Laman sesawang dibanjiri dengan blog-blog yang mengupas pelbagai isu dan subjek daripada makanan, fesyen, pemotoran, dunia perfileman sehinggalah kepada carian dekorasi rumah.
Budaya blog yang melanda Malaysia, tidak dinafikan adalah medium alternatif yang paling pantas berkembang tanpa mengira peringkat umur, kerjaya dan pendidikan yang diterima. Ramai muda-mudi terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan blog-blog popular ini menyumbang pandangan dan berita alternatif berbanding media aliran utama.
Fenomena itu disedari oleh warga LG Electronics yang tidak mahu ketinggalan dengan memperkenalkan blog LG. Ia diwujudkan secara khusus bagi mendekati golongan penulis dan para pembaca blog, selain menyediakan sebuah platform untuk memberi maklum balas mengenai produk terbaru, acara, aktiviti dan promosi.
Baru-baru ini di ibu kota, pemimpin teknologi dan reka bentuk antarabangsa itu melancarkan secara rasmi blog LG tempatan di alamat www.lgblog.com.my.
Sambil menjemput segenap lapisan komuniti penulis blog Malaysia menyertainya, LG Electronics dengan bangganya mengumumkan ia sebagai syarikat elektronik pertama mengadakan acara seperti itu.
Para penulis blog adalah refleksi pelbagai personaliti warga muda yang membentuk dunia hari ini menerusi dunia siber. Di blog LG, pengendalinya berharap agar ia membentuk sebuah komuniti LG yang berpengetahuan dan terdidik.
T. Y. Ko, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif LG Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. yang hadir untuk memeriahkan majlis berkata: "Landskap pengguna kini berkembang dengan begitu pesat. Jadi sangat penting untuk kami mengikuti perkembangan trend dan gaya hidup terkini, terutamanya dalam suasana ekonomi hari ini."
"Apa lagi cara yang lebih baik, selain daripada mendekati penulis blog, yang kami lihat sebagai penyampai pendapat pengguna muda.
"Sudut pandangan bebas mereka dipandang tinggi oleh masyarakat awam manakala komen mereka biasanya tidak memihak sesiapa atau mana-mana parti. Jadi, ia dianggap lebih boleh dipercayai."
"Sementara itu, Internet kini menjadi bahagian penting dalam gaya hidup hari ini iaitu daripada berhubung dengan orang lain, menguruskan bil harian, menjalankan kajian tentang produk pengguna atau berkongsi pemikiran dan pendapat melalui blog. Berbekalkan kesedaran inilah, kami melancarkan blog LG bagi melengkapi laman web korporat kami."
Terbuka kepada orang awam, blog Malaysia rasmi daripada LG itu menampilkan penulisan dan pemberitahuan tentang reka bentuk, inovasi, gaya hidup dan teknologinya yang menggunakan pendekatan mesra dan peribadi.
Para pengunjung blog itu bukan sahaja berpeluang melihat dan merasai dunia teknologi terkini daripada gergasi elektronik, malah berpeluang meninggalkan komen dan menyumbang maklum balas mereka.
Sebagai contoh, lanjutan daripada pelancaran produk LG terbaru, pengguna boleh melayarinya untuk mengetahui produk tersebut secara lebih lanjut, membaca ulasan produk yang objektif daripada pihak ketiga dan menyumbang maklum balas dan pandangan mereka sendiri.
Blog LG juga bakal menjadi sumber kandungan yang luas buat para penulis blog lain dengan capaian pantas kepada maklumat lengkap menerusi khidmat audio, video dan gambar yang boleh dikongsi dengan para pembaca mereka.
Bagi mereka yang mengintai peluang untuk memenangi hadiah, inilah peluang keemasan yang dinanti-nantikan. Mereka boleh melayari blog LG secara kerap bagi mendapatkan promosi dalam talian istimewa atau mengetahui tentang promosi pengguna terbaru.
Hadiah-hadiah hebat yang boleh dimenangi merangkumi produk daripada LG hinggalah baucar menonton filem terbaru.
Pada masa yang sama, blog LG juga bakal menjadi platform LG menyampaikan aktiviti korporatnya daripada aktiviti kemasyarakatan, acara amal sehinggalah jawatan kosongan di syarikat itu.
Bagi meningkatkan lagi populariti laman blog baru tersebut, LG turut memperkenalkan LG Malaysia Fan Club di Facebook yang menyasarkan ribuan pengguna Internet Malaysia yang menyertai laman web rangkaian sosial popular itu.
Laman LG Facebook Fan Club bakal menyiarkan kandungan bahan yang dikemas kini secara ringkas, sedutan artikel dan pautan kepada blog LG dan laman web korporat LG.
Berikut lapan persoalan yang kerap ditanya oleh para pengguna mengenai blog terbaru LG.
1. Adakah LG akan memantau atau menyaring sebarang komen yang dihantar ke blog LG?
Kami akan mempraktikkan langkah-langkah penyaringan dan pemantauan ke atas komen yang dipercayai mengugat soal sensitiviti atau penggunaan bahasa yang tidak sesuai agar tidak memperkecilkan sesiapa sahaja. Sebagai sebuah laman sesawang yang dimiliki oleh LG, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan agar segala urusan yang dijalankan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
2. Adakah LG akan sentiasa memberi hadiah dan mengadakan pertandingan di laman blog?
Ya, kami akan menganjurkan promosi dan pertandingan dari semasa ke semasa. Banyak aktiviti yang menyeronokkan akan disediakan termasuk hadiah-hadiah hebat yang boleh dimenangi.
3. Berapa cepatkah produk-produk baru akan dimuat turun ke dalam blog?
Kami akan memperkenalkan secara luaran tentang sesebuah produk baru yang akan dilancarkan di Malaysia. Pada masa yang sama, kami akan mempamerkan beberapa produk tertentu yang berada di pasaran di rantau ini walaupun tidak dijual di pasaran tempatan.
LG mempunyai beberapa orang pegawai yang berdedikasi dan bertindak sebagai blogger untuk menyokong unit pengemaskinian blog LG. Ia akan sentiasa relevan, segar dan terkini.
4. Bagaimana dan betapa cepatkah anda akan memberi respons kepada sesebuah maklum balas?
Kami akan memantau blog LG secara kerap dan akan memberi maklum balas hampir setiap hari, jika perlu.
5. Apakah ciri-ciri lain yang bakal diperkenalkan dalam blog LG?
Sebagai sebuah jenama blog baru, buat masa ini, kami akan memfokus untuk mengemaskini kandungan bahan secara kerap dengan menyentuh topik-topik menarik dari segi rekaan, inovasi, teknologi dan gaya hidup.
6. Adakah blog LG akan berganding bahu dengan Twitter?
Blog LG sudah pun berada di laman sesawang Twitter dan anda boleh mendapat tahu aktiviti terkini hampir setiap jam.
7. Apakah yang membezakan antara blog LG daripada laman sesawang LG Malaysia? Adakah salah satu daripadanya memba-yangi laman sesawang yang satu lagi?
Laman sesawang LG Malaysia lebih memfokus pada produk dan mempunyai sentuhan korporat, manakala blog LG lebih bersifat semula jadi dan memberi ruang kepada pelayar untuk berseronok dengan berita gaya hidup LG.
Ia melalui inisiatif tanggungjawab sosial, kerjasama dengan rakan niaga yang strategik, pertandingan bulanan dan siri jelajah. Blog LG melengkapi laman sesawang LG Malaysia kerana masing-masing mempunyai pendekatan yang berlainan.
8. Adakah blog LG digunakan untuk mempromosikan barangan Korea atau hanya tertumpu pada berita LG?
Ya, kami ingin untuk mempromosikan Korea melalui blog ini dengan menampilkan makanan ruji Korea, budaya dan filem dan aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan oleh rakan niaga Malaysia dengan organisasi Pelancongan Korea.