Terengganu, T-Team makin panik kehilangan stadium


Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Begitulah nasib pasukan bola sepak Terengganu dan T-Team yang kehilangan tempat beraksi selepas bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin roboh pagi kelmarin.

Musim ini, kedua-dua pasukan terbabit menjadikan stadium baru yang dibina dengan kos kira-kira RM300 juta itu sebagai gelanggang utama untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Bagaimanapun, insiden bumbung runtuh yang berlaku di stadium itu memaksa mereka beralih semula ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Difahamkan, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan ditutup selama enam bulan untuk membolehkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Malangnya ketika ini, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tidak berada pada tahap terbaik.

Sebahagian daripada tempat duduk penonton di stadium yang dalam proses untuk dirobohkan itu telah dibuang manakala pagar yang memisahkan antara penonton dengan kawasan padang sudah tiada.

Permukaan padangnya juga berada pada situasi yang sangat buruk selepas stadium berkenaan dijadikan lokasi Konsert Penghargaan Search di Awan Biru minggu lalu.

Malah stadium itu juga akan menjadi lokasi untuk kejohanan kuda lasak, Sultan Cup 2009 yang akan membuka tirainya Sabtu ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Zulkifli Abd. Ghani, pihaknya memerlukan tempoh empat minggu untuk membaiki semula Stadium Ismail Nasiruddin Shah.

Lantaran itu, di manakah Terengganu akan bermain pada aksi Liga Super bertemu KL Plus, 16 Jun ini?

Begitu juga dengan T-Team yang akan berdepan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Perdana tiga hari kemudian?

"Setakat ini, pihak MBKT belum menerima sebarang permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menggunakan stadium lama itu (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah).

"Keadaan stadium itu tidak berada pada situasi yang terbaik dan kami memerlukan masa sekurang-kurangnya empat minggu untuk membaikpulihnya," kata Zulkifli.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url