Lepasan UMS maut jatuh kereta api Ekspres Timuran

GUA MUSANG: Seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baru tamat pengajian dan menunggu konvokesyen Oktober depan, maut apabila terjatuh dari kereta api Ekspres Timuran yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Singapura, malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, DSP Aziz Hassan, berkata Mohd Surandiman Sulaiman, 24, yang berasal dari Kampung Tanjung Mas, Tumpat, terjatuh ketika kereta api berkenaan tiba di Kampung Jerek berhampiran Stesen kereta api Bertam Baru kira-kira 11 malam.

"Ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pelayan kantin kereta api itu dipercayai sedang berehat di tepi pintu gerabak.

"Tiba-tiba pintu koc kereta api terbabit dikatakan tertutup menyebabkan Mohd Surandiman tercampak ke bawah sebelum disedari penumpang lain yang berada berhampiran.

"Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia sebaik diangkat ke atas koc kereta api untuk dihantar ke Pusat Kesihatan Bertam Baru," katanya.

Aziz berkata, Mohd Surandiman baru sahaja bekerja sebagai pelayan kantin kereta api ekspres itu seminggu lalu kerana mengambil kesempatan ketika cuti panjang sementara menunggu majlis konvokesyen.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url